Kedutaan AS enggan terima memorandum, batalkan sahaja beli pesawat Boeing - Penganalisis

 

Gambar hiasan: Facebook Mohamad Sabu

Penganalisis politik, Lim Sian See mencadangkan kerajaan membatalkan atau menangguhkan pembelian 60 pesawat Boeing bernilai RM20 bilion susulan keengganan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menerima memorandum mengenai Palestin.  

Beliau menyifatkan tindakan kedutaan itu sebagai penghinaan kepada Malaysia kerana enggan menerima memorandum yang dikemukakan delegasi diketuai seorang menteri.  

"Kedutaan Amerika Syarikat terletak di Kuala Lumpur, Malaysia. Tapi memorandum daripada delegasi diketuai Menteri Malaysia pun tak sudi terima? Seolah-olah satu penghinaan di negara sendiri.  

"Memang tak wajar. Sekurang-kurangnya hantar wakil keluar ambil memo - itu asas diplomasi dan kesopanan.  

"Jadi, Madani masih nak beli 30+30 pesawat Boeing bernilai sampai RM20 bilion dari Amerika? Kalau macam ni, batalkan saja order atau tangguhkan dulu pembelian tu. Biar Amerika dan Trump rasa gentar," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Semalam, Kedutaan AS mencetuskan kemarahan apabila enggan menerima memorandum gesaan membela rakyat Palestin dalam satu perhimpunan sempena Hari Al-Quds Antarabangsa.  

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, tiada seorang pun wakil kedutaan keluar untuk menerima memorandum tersebut, malah pintu pagar kedutaan ditutup.  

Menurutnya, mereka hanya memesan kepada pegawai polis yang bertugas agar memorandum berkenaan diletakkan dalam peti surat.  

Perhimpunan tersebut diadakan di hadapan Menara Tabung Haji sebelum para peserta berarak ke Kedutaan AS bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap dasar luar negara itu, termasuk pentadbiran Presidennya, Donald Trump.  

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamed Sabu dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menyertai perhimpunan tersebut.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan