Tun Dr. Mahathir Mohamad menegur sikap segelintir pihak yang berebut-rebut mahu dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sedangkan kedudukan itu hanya boleh ditentukan selepas parti atau gabungan memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya.
Menurut beliau, seseorang calon tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya parti yang diwakilinya gagal memperoleh sekurang-kurangnya 112 kerusi di Dewan Rakyat.
“Calon tidak akan jadi Perdana Menteri jika partinya tidak menang 112 kerusi.
"Untuk menang 112 kerusi, partinya perlu letak lebih dari 112. Parti lain pun akan letak calon melawan partinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan adalah mustahil untuk mana-mana parti memenangi jumlah kerusi mencukupi jika bergerak secara berpecah.
“Tidak mungkin partinya menang 112 kerusi. Tidak mungkin calon Perdana Menteri jadi Perdana Menteri. Tak usahlah berebut-rebut nak jadi calon Perdana Menteri.
"Sebaliknya berusahalah untuk Melayu bersatu. Hanya jika Melayu bersatu sahaja baharulah kemenangan boleh dicapai,” katanya.
Beliau berkata, soal siapa bakal Perdana Menteri hanya wajar ditentukan selepas kemenangan dicapai dalam pilihan raya.
“Setelah menang barulah pilihan Perdana Menteri dibuat. Semua yang berbakat boleh bertanding untuk jadi Perdana Menteri,” katanya.
0 Ulasan