Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi menyifatkan sengketa antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini memasuki babak baharu apabila kedua-dua parti itu terbuka bertelagah soal dana pilihan raya.
Menurut beliau, tuduhan yang dilemparkan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kos pilihan raya dianggap tepat terkena kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tuduhan Sanusi memang pedas. Sebiji kena ke muka Muhyiddin. Sampai suruh gantung kain batik,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Puad berkata, serangan balas daripada pemimpin Bersatu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad menimbulkan persoalan baharu terhadap PAS, termasuk isu sumber dana politik yang digunakan gabungan itu.
“Pertama, PAS tidak tahu bersyukur. Bersatu susah payah sediakan dana hingga PAS menang 43 kerusi. Kini giliran kain sarung PAS terlondeh.
“Kedua, apakah PAS parti yang rela bersubahat? Apakah PAS tanya dari mana sumber dana politik Bersatu? Apakah duit halal atau duit rasuah?” katanya.
Beliau turut mengingatkan mengenai pengakuan bekas Menteri, Tan Sri Annuar Musa yang pernah mendakwa melihat sejumlah wang ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.
“Masa PRN Sabah 2020, dia masuk bilik hotel Muhyiddin. Dia kata, ‘duit berlonggok atas katil’,” katanya.
Puad menambah, kenyataan Marzuki bahawa belanja minimum untuk satu kerusi Parlimen ialah RM1 juta menimbulkan persoalan bagaimana PN yang baharu ditubuhkan pada PRU15 mampu berbelanja besar.
“Sekarang PAS-Bersatu gaduh pasal duit pilihan raya. Marzuki kata belanja minimum untuk satu parlimen ialah 1 juta ringgit.
"Patut PN nampak mewah masa PRU15. Sedangkan PN baru tubuh. Mana dapat duit?” katanya.
0 Ulasan