Sanusi sindir parti sekutu PN tak mahu tanggung kos pilihan raya

 

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyindir parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya tidak menanggung kos persiapan pilihan raya sehingga PAS terpaksa menanggung beban kewangan.

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semua peralatan untuk jentera pilihan raya ditanggung PAS, manakala parti rakan hanya hadir untuk bertanding tanpa modal dan logistik.

"Rakan-rakan tak bayar duit dan peralatan, gantunglah kain batik dan kain pelekat," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-71 di Kedah, semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, parti berkenaan turut mengenakan caj RM1,200 untuk setiap unit peti undi walaupun bergantung pada peralatan milik PAS.

"Semua peralatan kita bayar, mereka datang bertanding saja. Lepas itu, nak jadi ketua tapi duit tak ada dan jentera pun tak ada. Jangan sampai kita ungkit semua.

"Kita berharap rakan-rakan kita memahami situasi yang kita akan hadapi pada masa depan. Mereka kena juga berkorban dari bawah sampai ke atas seperti kita yang buat," katanya.

Muhammad Sanusi menjelaskan, kos bagi menyertai PRU16 dianggarkan RM1 juta untuk satu kawasan Parlimen dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60 juta sekiranya PN berhasrat memenangi 60 kerusi.

"Persiapan kewangan ini penting kerana kalau tidak kuasai semua teknologi dan aplikasi yang ada di depan kita, kita terpaksa menanggung kos lebih mahal apabila bergantung kepada kaedah konvensional," katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan