Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari diingatkan bahawa kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada 2021.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, ketika itu Ahmad Fadhli adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.
"Noktah. Jangan salahkan orang lain," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli dalam kenyataan media berkata, PAS mengecam tindakan pemaju yang melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru pada 11 September 2025 berasaskan perintah mahkamah melalui Perintah 89.
Menurut beliau, PAS memahami bahawa pada 20 Ogos lalu, pemaju telah memperoleh perintah ex-parte daripada mahkamah yang memberi kebenaran untuk memasuki kawasan, termasuk membuka mangga pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan dan PAS menghormati keputusan tersebut.
"Namun, tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa, sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober 2025, amat tidak berperikemanusiaan.
"Sepatutnya, pemaju menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai. Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim," katanya.
Lebih membimbangkan, kata Ahmad Fadhli, Perintah 89 secara jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat.
Namun, jelasnya, penguatkuasaan pada hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta tindakan agresif pihak pemaju, sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.
"PAS menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini.
"Simpati turut dirakamkan kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut.
"Pada masa sama, PAS akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas," katanya.
0 Ulasan