Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi hari ini:
UMNO Negeri Sembilan mengambil maklum kenyataan PKR Negeri Sembilan berhubung kemelut institusi dan pentadbiran negeri. Dalam membicarakan keadaan hari ini, adalah penting supaya keseluruhan rentetan peristiwa yang membawa Negeri Sembilan ke tahap ini tidak diketepikan atau ditafsir secara terpilih.
Peristiwa 17 April 2026 merupakan antara titik paling penting dalam perkembangan tersebut. Kedudukan Undang Luak Sungei Ujong pada ketika itu dikatakan telah diputuskan secara kolektif melalui Dewan Keadilan dan Undang, namun perkara itu kemudiannya dipertikaikan oleh pihak-pihak yang hadir, termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Justeru, persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU 17 April 2026 kekal fundamental. Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku? Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan.
Oleh itu, adalah tidak wajar untuk membicarakan kesan kemelut hari ini tanpa mengakui bagaimana kemelut tersebut bermula. Jangan sampai berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berhadapan dengan pertikaian yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Pertikaian inilah yang menjadi antara asas kepada hilangnya keyakinan UMNO/BN terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun. Pendirian tersebut bukan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan, tetapi terhadap cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan di bawah kepimpinan beliau.
Apabila penyelesaian politik tidak dicapai, beliau sendiri yang memilih DUN untuk dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat. Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah. Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati.
Kerajaan Negeri hari ini perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan kemelut ini secara tertib, berperlembagaan dan penuh adab. Perkara yang menyentuh institusi diraja, adat dan struktur pemerintahan Negeri Sembilan tidak seharusnya diperlakukan sebagai medan untuk mencipta tekanan politik atau mendahului proses yang sedang berjalan.
Jika PKR Negeri Sembilan benar-benar mahu melihat kemelut ini diselesaikan, maka mulakan dengan persoalan yang masih menjadi asas kepada keseluruhan krisis: Pihak yang sedang dalam pertikaian menuntut dokumen tersebut dan Kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikan perkara itu dengan tertib dan beradab. Jangan memilih hanya sebahagian daripada naratif yang sesuai dengan kepentingan politik semasa.
UMNO Negeri Sembilan menyeru rakyat agar melihat rentetan peristiwa yang berlaku bermula di zaman pentadbiran Kerajaan pimpinan PKR dan bagaimana kita sampai ke tahap ini sebelum meletakkan kesalahan terhadap kerajaan yang kini sedang berusaha menyelesaikannya.
Kerajaan Negeri hari ini memikul satu tanggungjawab yang berat: menyelesaikan kemelut yang diwarisi dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah dan bidang kuasa institusi-institusi yang sah. Semua pihak wajib menjaga bahasa dan tindakan supaya tidak mendahului proses tersebut.

0 Ulasan