Kerajaan NS sekarang seolah-olah tidak berfungsi - PKR NS

 

Gambar: FB Aminuddin Harun

Berikut adalah kenyataan media PKR Negeri Sembilan hari ini:

Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan  yang bermesyuarat malam tadi memandang serius kemelut institusi dan pentadbiran yang sedang melanda negeri ini.

Perkembangan yang berlaku bukan sahaja melibatkan persoalan Perlembagaan dan institusi diraja, malah telah menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

PKR Negeri Sembilan menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar yang didakwa tidak selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Kesan besar akibat krisis pentadbiran ini tentunya dirasai rakyat Negeri Sembilan.

KEMELUT POLITIK JANGAN SAMPAI MELUMPUHKAN PENTADBIRAN DAN MENYUSAHKAN RAKYAT

Kemelut ini memberikan kesan terhadap kehidupan rakyat dan kegiatan ekonomi negeri. Ketidaktentuan dalam pentadbiran berkait kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.

Urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek berpotensi terkesan serta boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga, serta memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

PELANTIKAN JPKK DAN AHLI MAJLIS TIDAK BOLEH TERUS TERGANTUNG

JPKK dan ahli majlis merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Sekiranya pelantikan dan fungsi institusi ini terus tergantung, penduduk kampung dan komuniti setempat berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan.

KERAJAAN NEGERI SEKARANG INI SEOLAH-OLAH TIDAK BERFUNGSI

Keadaan semasa menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian yang berpanjangan. Walaupun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat.

Kerajaan negeri perlu memastikan wujudnya kejelasan tentang kuasa membuat keputusan, tanggungjawab setiap pihak dan kesinambungan pentadbiran. Kepentingan rakyat mesti mengatasi sebarang kepentingan politik atau pertimbangan peribadi.

PKR NEGERI SEMBILAN MENJUNJUNG KASIH DYMM TUANKU MUHRIZ

Kami menyeru semua pemimpin politik agar mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberikan ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Pendirian PKR Negeri Sembilan adalah jelas, akan sentiasa menjunjung kasih dan memberikan sokongan kepada DYMM Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan peranan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan