Berikut adalah kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PH, Hassan Abdul Karim berhubung isu dana KWAP pada 17 Julai 2026:
1. Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan Pengurusan tertinggi KWAP telah melakukan kecuaian yang besar sehingga Dana Persaraan Penjawat Awam ditipu sebanyak RM200 juta oleh syarikat pemula akuakultur di Indonesia dikenali sebagai sFishery.
2. Kecuaian kawalan dan tadbir urus telah berlaku dalam Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan Pengurusan tertinggi KWAP.
3. Skandal kecuaian ini dalam KWAP yang diamanahkan oleh negara untuk menjaga Dana Persaraan Awam adalah kesalahan yang tidak boleh dipandang ringan.
4. Parlimen Malaysia telah menggubal pelbagai Akta Undang-Undang untuk membantu pihak Eksekutif iaitu Kerajaan Persekutuan melaksanakan kawalan kewangan dan tadbir urus yang baik.
5. KWAP juga telah diperdayakan dalam Skandal Penyelewengan SRC International berbilion ringgit sehingga Perdana Menteri yang bertanggungjawab ketika itu dihukum bersalah lalu dijatuhkan hukuman penjara dan denda.
6. Tidak serik dan mempelajari isu skandal SRC International oleh Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan Pengurusan tertinggi KWAP, kini mereka yang diamanahkan oleh negara melakukan kesalahan yang sama.
7. Justeru itu saya menyeru kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menyiasat secara forensik dan jika mendapati kesalahan fiduciary, kecuaian dan bercanggah dengan prinsip pertanggungjawaban serta akauntabiliti maka tindakan pemecatan perlulah dilakukan.
8. Dalam prinsip akauntabiliti dan pertanggungjawban juga, oleh kerana KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)) berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan di mana Dato' Seri Anwar Ibrahim adala Menteri Kewangan, maka saya sebagai seorang ahli Parlimen penyokong Kerajaan Madani di Dewan Rakyat menyeru kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membuat contoh teladan yang baik dan bertanggungjawab mengambil keputusan yang berani dengan MELETAK JAWATAN SEBAGAI MENTERI KEWANGAN Malaysia dalam kadar yang segera.

0 Ulasan