1MDB sebenarnya beri keuntungan besar kepada kerajaan

 

1Malaysia Development Berhad (1MDB) setakat ini telah memberi lebihan sebanyak RM1.02 bilion kepada kerajaan selepas mengambil kira jumlah pulangan dan hasil penjualan aset melebihi bayaran hutang yang dibuat, kata penganalisis politik Datuk Eric See-To.

Menurut beliau, jumlah pulangan sebanyak RM31.19 bilion serta hasil penjualan Bandar Malaysia bernilai RM12 bilion menjadikan jumlah keseluruhan RM43.19 bilion, iaitu lebih tinggi berbanding RM42.17 bilion yang telah digunakan kerajaan untuk membayar hutang dan faedah 1MDB setakat Julai 2025.

"Bagaimanapun, baki hutang sekitar RM5 bilion masih perlu dilangsaikan tetapi hanya akan matang pada 2039," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Selain itu, katanya, terdapat aset yang diputuskan mahkamah untuk dipulangkan kepada Malaysia tetapi masih belum diterima, antaranya kes Tim Leissner dan Roger Ng di Amerika Syarikat, kes Petrosaudi di Switzerland serta beberapa rundingan penyelesaian dengan Deutsche Bank, Coutts, BSI Bank dan tuntutan tambahan terhadap Goldman Sachs.

Eric berkata, antara aset yang masih dimiliki atau dibiayai oleh 1MDB termasuk lapan pangkalan pertahanan baharu atau dinaik taraf termasuk Pangkalan Udara Sendayan, projek Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM40 bilion, tanah di Pulau Pinang bernilai RM2 bilion, tanah di Pulau Indah bernilai RM500 juta serta projek terowong bawah tanah sepanjang lima kilometer bernilai RM3 bilion termasuk pembinaan pasar ICC Pudu.

“1MDB sebenarnya beri keuntungan besar pada kerajaan tanpa menambah satu sen pun kepada hutang negara – bukan kerugian yang cucu-cicit kita kena tanggung,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan 1.0 tidak membatalkan perjanjian penyelesaian asal dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, 1MDB sepatutnya sudah menerima semula dana sehingga AS\$7.5 bilion atau kira-kira RM32 bilion sebelum Disember 2020.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan