Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insiden menyerang sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.
Beliau telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan.
"Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalah guna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat.
"Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera di bahagian kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.
Anwar menambah, kerajaan menghormati hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini.
"Namun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang," jelasnya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa untuk segera melaksanakan siasatan rapi, dan memastikan dalang serta pelaku yang terlibat dibawa segera ke muka pengadilan.
Menurut beliau, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta integriti pasukan keselamatan negara adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha menyalahgunakan hak berhimpun untuk tujuan politik sempit, mencetuskan suasana tidak tenteram, atau menghasut kebencian melalui maklumat palsu," tegasnya.
0 Ulasan