Parti Sendiri Pun Kucar-Kacir, Lagi Ada Hati Mahu Jadi PM


Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa rakaman audio mesyuarat terakhir Pakatan Harapan (PH) sebelum mereka tersungkur yang tular dalam media sosial baru-baru ini adalah benar.

Pengakuan Anwar itu turut mengesahkan tentang krisis dalaman yang sangat parah dalam PKR yang diasaskannya sendiri selepas ditendang dari UMNO 22 tahun lalu.

Memang kita semua sedia maklum tentang kewujudan 'kumpulan pengkhianat' seperti yang didakwa Anwar mempunyai matlamat menghalang angan-angannya daripada menjadi Perdana Menteri kelapan.

Mereka juga dipercayai sedang berusaha memastikan Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri kesembilan, ke-10, ke-11 dan seterusnya.

Anwar sendiri yang kata ada seorang kakak dalam mesyuarat tersebut yang mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama-lamanya.

Memang tak logik apa yang kakak tu kata, sebab Tun Mahathir pun manusia biasa.

Mana ada manusia biasa yang boleh hidup dan menjadi Perdana Menteri sampai bila-bila.

Video FB Anwar Ibrahim

Berbalik kepada isu sebenar, agak menghairankan bagaimana kumpulan pengkhianat ini boleh wujud dalam PKR.

Apakah mereka sudah lupa dengan matlamat sebenar penubuhan PKR iaitu menjulang Anwar sebagai Perdana Menteri.

Memang itulah yang diratib pemimpin-pemimpin PKR lebih-lebih lagi Anwar yang mahu melihat Anwar memegang jawatan tertinggi pertadbiran negara.

Tetapi, skrip drama berubah selepas PH berjaya memperdayakan rakyat untuk mengundi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Mereka sendiri tidak menyangka boleh menang dan tidak bersedia dalam soal menentukan siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

Maka PH mengitar semula Perdana Menteri keempat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Kononnya, ada perjanjian yang menetapkan jawatan itu mesti diserahkan kepada Anwar selepas dua tahun.

Jadi, tidak salah bila Anwar dan juak-juaknya menuntut janji yang tidak terkandung dalam kitab suci itu.

Sudah tentu mereka resah apabila Tun Mahathir tidak memberi jawapan yang konkrit tentang soal peralihan kuasa.

Lebih membimbangkan, kumpulan pengkhianat dalam PKR semakin berani meminggirkan Anwar yang selama ini menjadi simbolik perjuangan reformasi yang kini sudah basi.

Ada yang bermulut celopar mempersoalkan di manakah Anwar ketika mereka bersungguh-sungguh menghasut rakyat membenci Barisan Nasional dan UMNO yang banyak berjasa kepada negara.

Tidakkah mereka tahu Anwar sanggup menjadi lilin yang membakar dirinya sendiri semata-mata untuk memastikan api reformasi terus bernyala walaupun sinarnya semakin malap?

Memang dasar manusia tak mengenang budi mereka itu semua!

Melihat kepada pergolakan dalaman PKR yang parah itu, timbul tanda tanya tentang kemampuan Anwar untuk mengetuai pentadbiran negara.

Kalau parti yang diasaskannya sendiri pun tak dapat dikawal, bolehkah dia mengendalikan kerajaan dalam keadaan PH yang berantakan?

Cabarannya pasti lebih dahsyat sebab Anwar akan berdepan penentangan terbuka daripada bekas-bekas rakan perjuangannya sendiri.

Itu belum dicampur serangan padu dari Perikatan Nasional yang lebih disenangi rakyat berbanding rejim PH yang dibenci mereka.

Sama ada Anwar tak sedar atau buat-buat tak sedar, Tun Mahathir seolah-olah keberatan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya sebelum ini.

Kalau tidak, sudah lama Tun Mahathir tetapkan tarikh peralihan kuasa dan bukan berdolak-dalik bila diminta berbuat demikian oleh penyokong-penyokong Anwar.

Sendiri mau ingatlah, Pak Sheikh.


15 Cabaran UMNO Menjelang PRU-15

Taktik Kotor RBA, Rakyat Mesti Tahu!

Catat Ulasan

0 Ulasan