15 Cabaran UMNO Menjelang PRU-15



Dalam keadaan normal, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka berlangsung dalam masa tiga tahun lagi.

Setelah melihat situasi semasa, acara pertembungan politik terbesar di Malaysia itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Ini bukan andaian kosong, dalam masa tidak sampai dua tahun kita telah menyaksikan tampuk kepimpinan negara berubah dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN).

Maka, wajarlah bagi UMNO yang menyambut ulang tahun penubuhan ke-74 hari ini bersiap sedia bagi memperkukuhkan parti agar dapat kembali sebagai tunggak dalam pentadbiran negara.

Bagi merangka strategi yang mantap, UMNO seharusnya menangani 15 cabaran utama menjelan PRU-15 seperti yang berikut:

Cabaran 1: Penyusunan semula parti

UMNO telah melaksanakan proses pemutihan secara menyeluruh di peringkat cawangan bagi mengeluarkan individu-individu yang tidak dapat dikesan, tidak pernah menghadiri mesyuarat, melompat katak ke parti lain atau menyokong parti lawan pada 2019.

Sehingga kini, tidak pasti sama ada senarai keahlian terkini yang dihantar oleh cawangan-cawangan telah diputihkan di peringkat ibu pejabat UMNO. 

Proses tersebut pasti akan mengakibatkan jumlah ahli di setiap cawangan berkurangan dan jumlahnya tidak mencukupi untuk dijadikan jentera parti yang cekap.

Mungkin cawangan-cawangan yang kurang ahli dalam kawasan yang sama boleh digabungkan supaya boleh menjadi lebih kukuh dan mantap untuk menjalankan gerak kerja kempen politik dan membantu masyarakat setempat.

Dalam hal ini, ketua-ketua cawangan yang terbabit perlu sanggup berkorban untuk memberi ruang kepada penggabungan cawangan demi memastikan keutuhan parti di peringkat akar umbi.

Cabaran 2: Menghargai kesetiaan

Ramai ahli yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dari segi perniagaan atau jawatan masih kekal setia bersama UMNO mengharungi detik-detik getir selepas PRU-14.

Sebaliknya, golongan kontraktor dan usahawan dalam parti pula sebahagian besarnya tanpa segan silu melompat katak memasuki PKR, Bersatu atau PAN. 

Malah, ada yang sanggup bermati-matian mempertahankan rejim PH di peringkat negeri dan pusat walaupun memang nyata banyak sangat kepincangan.

Tidak mustahil golongan katak ini akan menebalkan muka untuk kembali ke pangkuan UMNO apabila mereka melihat sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap Muafakat Nasional dan UMNO khususnya.

Pucuk pimpinan UMNO mesti memberi jaminan kepada ahli-ahli yang setia bahawa katak-katak pengkhianat ini tidak akan diberi jawatan secara mudah dalam parti.

Memang bagus jika mereka menyedari kesilapan namun mereka perlu bermula dari bawah semula tanpa mengira sama ada pernah menjadi menteri Kabinet atau ketua bahagian sebelum ini.


Cabaran 3: Peremajaan parti dalam erti kata sebenar

Konsep peremajaan parti memang selalu timbul setiap kali kita membincangkan tentang soal pemilihan calon yang boleh diketengahkan dalam pilihan raya atau pemilihan UMNO.

Masalahnya, konsep itu diterjemahkan pula sebagai 'remaja dari segi pendekatan' apabila calon terbabit sudah berusia jauh melebihi takrif umur belia.

Memang kita memerlukan orang lama yang berpengalaman untuk menjadi panglima-panglima perang di barisan hadapan.

Cuma kalau nisbah orang lama dan orang muda dalam kepimpinan parti dan pencalonan pilihan raya tidak seimbang, UMNO bakal berdepan kesukaran memenangi hati pengundi muda yang semakin meningkat bilangannya.

Lagipun, berilah peluang hulubalang-hulubalang muda menguji kemampuan mereka bersilat dalam gelanggang politik parti dan nasional.

Kalau mereka tiada pengalaman bertempur dari sekarang, bila jadi panglima perang nanti takut jadi lembik pula.


Cabaran 4: Perpaduan Melayu

Walaupun Muafakat Nasional berjaya menyatukan UMNO dan PAS, hakikatnya orang Melayu masih berpecah-belah.

Masih ramai yang berada dalam kluster PKR, PAN, Bersatu malah DAP dan ada juga yang memilih untuk tidak terlibat dalam politik kepartian.

Muafakat Nasional mempunyai kelebihan dalam menarik sokongan majoriti orang Melayu yang rata-ratanya kecewa setelah dilukakan dengan tindak-tanduk rejim PH yang dikuasai DAP.

Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu payung seperti yang pernah dilakukan UMNO ketika menentang Malayan Union dahulu.


Cabaran 5: Persaudaraan Islam

Muafakat Nasional juga menjadi platform yang merapatkan hubungan persaudaraan Islam dalam UMNO dan PAS yang agak lama bertelagah sebelum ini.

Dalam aspek ini, UMNO perlu keluar dari kepompong pembela Melayu dan menampilkan diri sebagai pejuang Islam bersama PAS.

Imej Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai tokoh muda Islam berjaya mengubah persepsi Pemuda UMNO sebagai sayap parti yang elitis.

Selain itu, pemimpin-pemimpin UMNO juga seharusnya menggunakan pendekatan politik yang selaras dengan adab dan etika Islam.


Cabaran 6: Toleransi dalam Barisan Nasional

Kerjasama dengan PAS dalam kerangka Muafakat Nasional tidak bermakna UMNO meminggirkan rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional. 

Sejak dari PRU yang pertama lagi UMNO menyedari parti itu sukar untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu tanpa kerjasama MCA dan MIC.

Sebelum ini, kedengaran suara-suara akar umbi yang menuntut kerusi-kerusi yang mempunyai ramai pengundi Melayu ditandingi MCA dan MIC sebelum ini diserahkan kepada UMNO.

Golongan ini perlu dilunakkan hati mereka untuk menerima hakikat bahawa strategi itu dilakukan bagi memastikan BN turut membawa suara kaum-kaum lain di peringkat Pusat.

Setelah hampir 63 tahun merdeka, ahli-ahli UMNO seharusnya sedar bahawa kaum-kaum lain juga berhak menyuarakan pandangan melalui saluran yang betul bagi mengelakkan isu-isu sensitif dibahaskan secara terbuka tanpa kawalan.


Cabaran 7: Kerjasama Muafakat Nasional

Mampukah Muafakat Nasional bertahan sehingga PRU-15?

Insya-Allah boleh jika UMNO dan PAS boleh bertolak ansur dalam menentukan formula pembahagian kerusi yang bakal ditandingi.

Kedua-dua parti sewajarnya menganalisis data-data pilihan raya terdahulu bagi memutuskan parti mana yang patut bertanding di kawasan tertentu.

Jika didapati undi cenderung memihak kepada UMNO, maka letaklah calon UMNO dan begitu jugalah sebaliknya.

Sentiasa ingat bahawa kegagalan UMNO dan PAS bermuafakat sebelum PRU-14 menjadi salah satu punca yang menyebabkan PAN, PKR dan Bersatu bertapak di kawasan majoriti Melayu.


Cabaran 8: Sokongan terhadap Perikatan Nasional

Kerjasama politik ini hanya satu ikatan politik longgar yang bergantung kepada kesediaan UMNO dan PAS untuk bertolak ansur agar kuasa pemerintahan politik tidak jatuh sekali lagi ke tangan rejim PH.

Memang benar UMNO berada dalam kerangka PN, namun itu tidak menghalang parti daripada membangkitkan isu-isu yang dihadapi rakyat seperti kelulusan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Sebagai parti yang berpengalaman, UMNO pasti mahu kerajaan PN mengambil kira pandangannya dalam isu-isu membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

UMNO juga telah menegaskan bahawa sokongan kepada PN setakat ini hanya sehingga PRU-15.

Justeru, ahli-ahli UMNO mesti bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku berhubung kedudukan UMNO dalam PN kelak.


Cabaran 9: Menarik sokongan pengundi muda

Perkara ini berkait rapat dengan usaha meremajakan parti.

UMNO berdepan dengan pengundi muda generasi baharu yang pemahaman politik mereka dibentuk oleh media sosial.

Ramai yang terperdaya dengan momokan rejim PH kononnya UMNO sebuah parti yang tercemar dengan rasuah.

Bagi menenggelamkan persepsi tidak tepat itu, golongan muda perlu diberi pendedahan tentang peranan penting UMNO dalam sejarah menuntut dan mempertahankan kemerdekaan.

Yakinkan mereka bahawa usaha membela agama, bangsa dan negara dengan berkesan hanya boleh diteruskan sekiranya golongan muda memberi mandat kepada UMNO untuk kembali menjadi parti tunjang dalam kerajaan.


Cabaran 10: Memikat hati golongan atas pagar

Kelompok ini memang sukar dibaca ke arah mana sokongan mereka.

Golongan atas lebih pagar lazimnya menilai situasi semasa terlebih dahulu sebelum menentukan parti mana yang akan disokong.

Mana yang lebih menguntungkan mereka, parti itulah yang menjadi pilihan.

Dalam usaha menarik sokongan golongan ini, jauhi strategi yang bersifat populis dengan menjanjikan bulan dan bintang.

Taktik sedemikian boleh memakan diri sendiri jika janji-janji gagal ditunaikan.

Jadikan tragedi tumbangnya rejim PH sebagai pengajaran.


Cabaran 11: Memenangi kepercayaan golongan profesional

Kalau setakat menggunakan kata-kata retorik yang kosong, agak sukar untuk mendapatkan kepercayaan golongan profesional terhadap UMNO.

Mereka mahu melihat hujah yang disokong oleh fakta yang sahih dan bukannya berita palsu ciptaan tentera siber upahan.

Jika kita mahu mendedahkan kepada golongan ini tentang kepincangan rejim PH, bentangkan hujah secara tersusun.

Sekiranya mereka tidak bersetuju, jangan serang atau kecam mereka.

Tindakan kurang bijak itu akan menyebabkan golongan profesional semakin menjauhkan diri dari UMNO.

Kalau tak tahu bagaimana hendak berhujah secara bijak, belajarlah daripada Bossku Datuk Seri Najib Razak.


Cabaran 12: Kempen media sosial

Kebelakangan ini dapat dilihat semakin banyak penyokong-penyokong UMNO bersilat dalam gelanggang media sosial.

Perkembangan itu memang sangat menggalakkan berbanding situasi sebelum PRU-14 yang menyaksikan Red Bean Army ternakan rejim PH lebih dominan dalam platform ini.

Malangnya, segelintir tentera siber pro-UMNO dan pro-PN bersikap terlalu agresif dan menggunakan taktik kotor yang menyerupai RBA.

Mereka menggunakan kata-kata kesat dan lucah bagi mematahkan hujah-hujah pihak lawan dan sikap buruk mereka ini amat meloyakan.

Malah, ahli-ahli UMNO yang menyuarakan kritikan membina pun dituduh sebagai RBA dan dicarut oleh mereka.

Sesiapa sahaja yang menguruskan tentera siber pro-UMNO perlu mengawal anak-anak buah sendiri agar tidak bersikap keterlaluan sehingga boleh menyebabkan pengundi meluat dengan parti.


Cabaran 13: Utusan Melayu dalam kenangan

Walaupun pahit untuk ditelan, UMNO terpaksa menerima hakikat parti itu tidak mampu menyelamatkan Utusan Melayu yang terkubur sejak 9 Oktober 2019.

Tragedi ini amat menyedihkan kerana Utusan Melayu yang pernah dimiliki UMNO berjuang bermati-matian mempertahankan pemegang saham terbesar mereka sehingga PRU-14.

Memandangkan nasi sudah menjadi bubur, agak sukar untuk UMNO menghidupkan semula Utusan Melayu kerana lesen penerbitannya telah dijual kepada syarikat lain.

Namun, semangat Utusan Melayu masih belum padam dan sentiasa marak dalam hati bekas pekerjanya.

Kepakaran bekas-bekas wartawan Utusan Melayu boleh dimanfaatkan bagi membantu UMNO merangka dan melaksanakan strategi media yang lebih mesra rakyat berbanding teknik serangan rakus dan gelojoh yang diamalkan oleh segelintir tentera siber.

Bekas-bekas wartawan Utusan Melayu yang hidup dalam kesukaran setelah hilang pekerjaan pasti akan mengenang budi baik UMNO yang bersedia membuka peluang kerjaya baharu kepada mereka.


Cabaran 14: Berkorban apa sahaja demi parti

Tidak dinafikan, gerak kerja politik lebih-lebih lagi semasa kempen pilihan raya memerlukan dana yang besar.

Dalam keadaan sekarang, UMNO tidak lagi mampu bermewah-mewah seperti dahulu.

Parti memang mengharapkan mana-mana pemimpin UMNO yang berkemampuan untuk menyumbang dari segi kewangan.

Hendak diharapkan ahli-ahli akar umbi agak sukar sebab ramai dalam kalangan mereka yang kini terjejas pendapatan akibat COVID-19.

Pada masa inilah pemimpin-pemimpin UMNO yang berharta boleh menunjukkan kesediaan mereka berkorban untuk membantu kempen PRU-15 nanti.

Insya-Allah, pengorbanan mereka akan dibalas dengan titik peluh dan sokongan padu daripada akar umbi.


Cabaran 15: Menangani fitnah dan berita palsu

Persepsi UMNO sebagai parti yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa masih melekat dalam pemikiran sebahagian rakyat.

Kita tidak mahu menyentuh kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana biarlah ia ditentukan oleh proses perundangan.

Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya yang menganggotai Kabinet atau mengetuai syarikat-syarikat berkaitan kerajaan mesti memastikan imej mereka tidak dicemari dengan dakwaan yang selalunya tidak berasas.

Ambil tindakan segera untuk melawan fitnah dan jangan biarkan sehingga ia melarat dalam media sosial.

Pembohongan jika dilakukan berulang kali berkemungkinan besar dianggap sebagai perkara yang benar oleh netizen yang malas membaca dan menyelidik.

Jangan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya yakin kita di pihak yang benar.


HIDUP UMNO!

HIDUP MUAFAKAT NASIONAL!


Ayuh! Tandatangan Petisyen Desak Lim Kit Siang Letak Jawatan

Taktik Kotor RBA, Rakyat Mesti Tahu!




Catat Ulasan

0 Ulasan