Semasa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan skim Bantuan Prihatin Nasional (BPN) pada 27 Mac 2020, ramai rakyat menarik nafas lega.
Pengumuman itu memberi cahaya kepada mereka yang rata-ratanya hidup dalam kesempitan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri memberi jaminan bahawa "tiada golongan yang akan tercicir".
Malangnya, hari ini (9 Mei 2020) ramai pula rakyat yang sesak nafas sebab permohonan baharu BPN tidak diluluskan.
Semakan dalam sistem BPN mendapati antara alasan yang diberikan adalah pendapatan melebihi kriteria kelayakan.
Memang mengejutkan sebab si polan yang diberikan alasan itu sudah berbulan-bulan menganggur selepas hilang pekerjaan tahun lepas.
Bukan dia seorang sahaja, isterinya pun turut diberhentikan kerja.
Ada juga yang menerima gaji sekitar RM1,300 sebulan tetapi tak layak menerima BPN.
Jika pemohon atau pasangan menjalankan perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mereka juga tak layak.
Sebaliknya, mereka diminta memohon Geran Khas Prihatin (GKP) yang dikhususkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Untuk melayakkan syarikat dipertimbangkan menerima GKP, pemohon mesti memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Syarikat mestilah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum 31 Disember 2019.
Bagi yang berniaga secara kecil-kecilan dari rumah, mereka tidak memohon lesen perniagaan dengan PBT.
Jika hantar permohonan GKP sekali pun, kemungkinan besar mereka tak layak juga.
Persoalannya, mengapa semasa diumumkan dahulu, rakyat tidak dimaklumkan bahawa individu atau pasangan yang mempunyai syarikat berdaftar dengan SSM tidak layak memohon BPN?
Mengapa selepas sebulan menunggu, baru diketahui perkara ini selepas disemak dalam sistem BPN?
Sepatutnya agensi-agensi kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempermudahkan urusan kelulusan BPN kepada rakyat.
Kalau sudah mohon BPN, maknanya secara automatik tidak layak memohon GKP walaupun nama pemohon atau pasangan ada dalam sistem SSM.
Lagipun, nilai bantuan BPN lebih rendah berbanding apa yang bakal disalurkan melalui GKP.
Nampak macam tak logik pula bila yang tak layak menerima BPN disuruh memohon GKP.
Besar harapan rakyat agar pentadbiran Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin dengan nasib mereka mempertimbangkan semula kriteria kelayakan permohonan BPN baharu.
Sekurang-kurangnya buka ruang untuk rakyat membuat rayuan kerana mungkin ada kekhilafan dalam sistem agensi-agensi yang berkaitan.
Jika masalah ini dapat ditangani dengan baik, rakyat tentu memberi sokongan padu kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dalam mengharungi detik-detik getir ini.
Permudahkanlah urusan rakyat yang kesempitan, pasti mereka menghargai keprihatinan kerajaan sampai bila-bila.
0 Ulasan