Wajarkah Kerajaan Benarkan Pengeluaran Wang Akaun 1 KWSP Untuk Bayar Sewa Rumah?


Tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal memasuki Fasa 4 apabila kerajaan memutuskan ia diteruskan sehingga 12 Mei 2020.

Setakat ini, belum pasti sama ada PKP akan disambung lagi selepas itu sehingga Hari Raya Aidilfitri atau sebaliknya.

Harus diakui bahawa pelaksanaan PKP dan pematuhan majoriti rakyat Malaysia telah berjaya mengawal penularan COVID-19 di Malaysia.

Namun, sebahagian rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) agak terkesan dari segi kewangan.

Rakyat sememangnya amat menghargai keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap nasib mereka.

Pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan khususnya Bantuan Prihatin Nasional (BPN) memang sangat membantu dalam mengurangkan beban kewangan yang dihadapi golongan B40 dan M40.

Begitu juga dengan moratorium enam bulan bagi pembayaran balik pinjaman kepada institusi kewangan yang pasti melegakan banyak pihak.

Cuma, masih ada rakyat yang kini berdepan masalah untuk membayar sewa rumah kerana bukan semua pemilik hartanah menangguhkan kutipan bayaran.

Isu ini pernah disentuh oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencadangkan kepada para pemilik hartanah untuk memberi kelonggaran kepada penyewa yang terjejas pendapatan semasa pelaksanaan PKP.

Najib Rayu Pemilik Hartanah Tangguh Kutipan Sewa Semasa Krisis Covid-19

Ada yang meminta penyewa membayar separuh atau jumlah penuh dan situasi ini menyebabkan mereka berasa tertekan.

Wang yang ada dalam tangan mungkin sekadar cukup-cukup untuk membeli makanan dan keperluan asas yang lain.

Jika digunakan untuk membayar sewa, mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan.

Mereka yang berdepan masalah ini kebiasaannya bekerja sendiri atau berniaga dan ada yang hilang sumber pendapatan semasa pelaksanaan PKP.

Pada masa yang sama, penyewa juga bimbang sekiranya diusir dari rumah apabila gagal membayar sewa yang tertunggak.

Memang benar kerajaan telah membenarkan pencarum mengeluarkan wang RM500 sebulan untuk tempoh setahun dari Akaun 2.

Walau bagaimanapun, tidak semua pencarum yang dapat berbuat demikian kerana baki dalam Akaun 2 mereka tidak mencukupi untuk membuat pengeluaran.

Sebahagian besar wang dalam Akaun 2 telah dikeluarkan sebelum ini untuk pembelian rumah atau menampung kos perubatan atau pendidikan.

Justeru, golongan yang sedang kesempitan ini merayu kepada kerajaan untuk membenarkan mereka mengeluarkan sebahagian wang dari Akaun 1 untuk membayar sewa rumah.

Rakyat Semakin Terhimpit, Rayu Kerajaan Benarkan Pengeluaran Akaun 1 KWSP

Sekiranya kerajaan bersedia mempertimbangkan rayuan ini, mungkin beberapa syarat boleh ditetapkan bagi memastikan wang yang dikeluarkan itu benar-benar digunakan untuk tujuan membayar sewa.

Contohnya, pemohon perlu mengemukakan bukti bertulis tuntutan bayaran sewa daripada tuan rumah. 

Selain itu, pencarum yang layak mengeluarkan wang dari Akaun 2 tidak dibenarkan untuk memohon pengeluaran wang dari Akaun 1.

Memang bukan semua penyewa mencarum dalam KWSP namun sekiranya cadangan ini diluluskan, ia pasti melegakan sebahagian daripada mereka yang kini diselubungi kebimbangan.


Hentikan Jual Face Mask & T-Shirt Op Penawar Guna Logo PDRM, ATM

RM14,000 Menanti Pemenang Pertandingan Filem Dakwah Pendek Anjuran PAS

PGSM Gesa Mahkamah Syariah Dibenarkan Beroperasi Sepanjang Tempoh PKP


Zul Yahya Belanja Orang Ramai Kari Ayam Percuma Semasa PKP




Catat Ulasan

0 Ulasan