PGSM Gesa Mahkamah Syariah Dibenarkan Beroperasi Sepanjang Tempoh PKP



Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan membenarkan mahkamah syariah beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Presidennya, Musa Awang berkata, banyak aduan tentang masalah rumah tangga diterima pihaknya semasa tempoh PKP namun tidak dapat diselesaikan kerana mahkamah tidak beroperasi.

Kenyataan penuh beliau adalah seperti berikut:

1. Merujuk kepada PKP yang dilanjutkan ke 28 April 2020, dan berkemungkinan akan dilanjutkan ke suatu tarikh yang lebih lama sehingga Mei 2020.

2. Setelah pihak PGSM melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian pada 07 April 2020 lalu, PGSM telah menerima banyak aduan tentang permasalahan rumah tangga yang berlaku semasa dalam tempoh PKP antaranya:

(i) Lafaz perceraian yang berlaku di sepanjang tempoh PKP di mana suami telah melafazkan cerai dalam tempoh PKP. Lafaz tersebut tidak dapat disahkan oleh mahkamah syariah kerana mahkamah tidak beroperasi.

(ii) Tidak berlaku atau tidak boleh rujuk antara pihak-pihak akan tetapi pihak-pihak terpaksa tinggal serumah disebabkan PKP. 

(iii) Lafaz cerai yang berlaku sebelum tempoh PKP yang mana lafaz tersebut belum disahkan oleh mahkamah syariah kerana pendengaran kes ditangguhkan disebabkan PKP. 

(iv) Isu perebutan hadhanah dan lawatan anak yang tidak dapat dilaksanakan oleh pihak-pihak semasa PKP.

(v) Isu pengabaian atau kecuaian nafkah isteri dan/atau nafkah anak-anak sepanjang tempoh PKP yang mana tuntutan tidak dapat dibuat kerana mahkamah syariah tidak beroperasi.

(vi) Isu keganasan rumah tangga (domestic violence) sepanjang tempoh PKP yang mana suatu perintah tegahan atau tinggal berasingan tidak dapat dipohon ke mahkamah kerana mahkamah syariah tidak beroperasi. 

(vii) Isu tuntutan perceraian di mana telah berlaku perbalahan dan pecah belah serta tinggal berasingan (rumah atau bilik) sepanjang tempoh PKP tetapi tuntutan tidak dapat diteruskan. 

(viii) Isu pelupusan harta oleh pihak-pihak apabila berlaku perceraian atau kematian di mana suatu perintah tegahan transaksi pelupusan harta tidak dapat dipohon ke mahkamah syariah.

(ix) Lain-lain kes yang berkaitan.

Indonesia Tunda Cuti Hari Raya Aidilfitri Hingga Disember

3. Pihak PDRM pada 17 April 2020 telah melaporkan bahawa 353 kes keganasan rumah tangga telah berlaku sepanjang PKP bermula 18 Mac yang lalu. Difahamkan juga bahawa pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) juga pada 14 April 2020 telah menghantar surat permohonan bagi mendapatkan pandangan dan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi perbicaraan kes syariah semasa dalam tempoh PKP.

4. Maka sehubungan ini, pihak PGSM menggesa kerajaan untuk membenarkan Mahkamah Syariah meneruskan operasi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan berdasarkan standard operating procedure (SOP) yang ketat sebagaimana berikut :

(i) Operasi dibenarkan daripada hari Isnin sehingga Rabu sahaja (3 hari dalam seminggu)

(ii) Operasi bermula daripada jam 08:00 pagi hingga jam 01:00 tengah hari sahaja.

(iii) Penjarakan sosial (social distancing).

(iv) Wajib pemakaian topeng muka bagi kakitangan mahkamah syariah yang bertugas, pelanggan dan Peguam Syarie.

(v) Kes didengar dalam mahkamah terbuka sahaja, dengan jarak lebih 1 meter antara satu individu dan individu lain. 

(vi) Hanya pihak-pihak litigant dan/atau Peguam Syarie sahaja dibenarkan hadir. Dilarang membawa kanak-kanak atau ahli keluarga lain.

(vii) Kehadiran pihak-pihak dan/atau Peguam Syarie adalah dengan menunjukkan Notis Panggilan Kes daripada pihak mahkamah sekiranya terdapat sekatan jalanraya (SJR) oleh pihak berkuasa. 

(viii) Mahkamah syariah perlu melakukan sanitasi nyah cemar dalam semua dewan mahkamah, kaunter dan bangunan. 

Najib Rayu Pemilik Hartanah Tangguh Kutipan Sewa Semasa Krisis Covid-19

(ix) Kebenaran memfailkan kes baharu ialah bagi kes-kes yang mustahak atau mendesak sahaja seperti tuntutan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah, atau permohonan yang melibatkan Perakuan Segera seperti Permohonan Interim Hadhanah, Interim Nafkah Isteri, Interim Nafkah Anak, Permohonan Injunksi Tegahan atau Pelulupusan Harta dan seumpamanya.

(x) Kes atau tuntutan baharu hendaklah difailkan oleh Peguam Syarie yang dilantik sahaja. Bagi yang tidak mampu melantik Peguam Syarie swasta, mereka boleh menggunakan khidmat Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang seharusnya juga dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini.

(xi) Hanya Peguam Syarie yang dilantik sahaja dibenarkan ke mahkamah untuk memfailkan tuntutan atau memfailkannya secara atas talian (bagi mahkamah syariah yang menyediakan aplikasi sedemikian).

5. Pihak PGSM berharap dengan usaha ini akan dapat mengurangkan keadaan “justice delayed is justice denied” yang melibatkan pihak-pihak yang memerlukan keadilan dan penghakiman dalam tempoh segera. Usaha ini juga akan dapat memartabatkan institusi mahkamah syariah sebagai salah satu institusi penyelesaian masalah bagi umat Islam di negara ini.



Catat Ulasan

0 Ulasan