PRN: UMNO tidak terikat perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan

 


UMNO akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16, sehingga pilihan raya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Kerajaan Negeri Johor dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan tanpa melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH). 

Justeru, menurut beliau, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri.

"UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti apabila menjelang mana-mana pilihan raya termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal ditentukan tarikhnya oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

"Keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri bukan pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana tuduhan segelintir pihak. 

"Sebaliknya ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan media pada 10 Jun 2026.

Asyraf Wajdi menambah, UMNO terbuka kepada apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat. 

"Apa jua bentuk kerjasama mesti dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan," jelasnya.









Catat Ulasan

0 Ulasan