Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kepadanya kononnya pihak istana telah “mengarahkan” pembubaran Dewan Negeri Johor.
Menurut beliau, apa yang dijelaskan adalah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
"Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati.
"Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan," katanya dalam kenyataan media pada 25 Jun 2026.
Onn Hafiz berkata, beliau telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut.
Menurut Menteri Besar Johor itu, selepas mendapat perkenan, beliau mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.
Katanya, mendapat titah perkenan adalah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik.
"Justeru, amat tidak bertanggungjawab untuk beliau kini memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi kononnya institusi diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.
"Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti.
"Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan institusi diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam," katanya/
Onn Hafiz berkata, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Saya menyeru semua pihak supaya menghormati institusi diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik," katanya.

0 Ulasan