PAS dan UMNO harus bertaut semula - Khairuddin

 

PAS dan UMNO harus mencari satu formula kukuh untuk bertaut semula demi memelihara masa depan Melayu serta Islam di negara ini.

Buat masa ini semua pihak tidak harus toleh ke belakang lagi tetapi kena pandang ke hadapan secara penuh keikhlasan bagi membela nasib anak bangsa serta memelihara keutuhan syiar Islam di tanah Melayu ini.

PAS serta UMNO boleh menjadi pemangkin ke arah menarik semua parti-parti politik kecil Melayu untuk duduk di bawah satu bumbung perjuangan melalui konsep 'Payung Besar' yang dinasihatkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

AJK Lajnah Penerangan PAS Melaka, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, di samping itu, segala kepentingan mahupun hak kaum-kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus dipelihara secara terbaik mungkin bagi menjaminkan perpaduan nasional terus terpelihara.

"Kita amat menyayangi semua kaum-kaum di negara ini tetapi hanya mempertikaikan sikap tidak jujur pemimpin-pemimpin DAP semata-mata yang cuba hendak merungkaikan hak-hak orang-orang Melayu sedikit demi sedikit.

"Pemimpin-pemimpin DAP pada hari ini cuba untuk ambil kesempatan di atas kelemahan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mereka telah berjaya tawan dalam segenap segi untuk terus tunduk serta akur terhadap segala permintaan mereka. 

"Inilah peranan yang sedang dimainkan secara konsisten oleh PAS untuk terus membela Melayu dan Islam agar tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapapun," katanya dalam kenyataan media pada 9 Jun 2026.

Namun, Khairuddin berkata, peranan serta tanggungjawab itu juga harus digalas secara jujur dan ikhlas oleh UMNO termasuk keseluruhan parti-parti politik Melayu yang kecil termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

Menurut beliau, perbalahan sesama Melayu mesti dihentikan segera sebelum malapetaka besar menimpa keseluruhan anak bangsa.

"Inilah yang dikhuatiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang senantiasa mengingatkan orang-orang Melayu jika terus berpecah lagi 10 tahun kita akan hilang kuasa politik serta negara ini buat selamanya.

"Keseluruhan orang-orang Melayu pada hari ini mahu melihat perpaduan Melayu yang kuat sebagai satu ikatan 'simpul mati' yang tidak boleh dirungkai oleh sesiapapun lagi hingga akhir zaman," jelasnya.

Khairuddin menambah, sikap terbuka dan jiwa besar PAS yang tidak pernah putus-asa untuk menjemput UMNO agar berpaut semula di bawah satu platform Melayu yang jitu harus dipuji.

"Insya-Allah, daya-usaha jujur dan ikhlas PAS ini akan termakbul serta diberkati oleh Allah SWT. Amin.

"Sesungguhnya juga, PAS amat komited dan konsisten dalam perjuangan untuk menyatu-padukan orang-orang Melayu di negara ini secara menyeluruh serta berterusan sepertimana yang disarankan oleh Dr Mahathir," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan