Isu 'flat Rohingya' cetus persoalan integriti tadbir urus - MCW

 

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius dakwaan berhubung kewujudan sebuah bangunan empat tingkat di kawasan Sungai Tekali, Hulu Langat yang dikatakan dibina secara tidak sah dan dikaitkan dengan penempatan warga asing termasuk komuniti Rohingya

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, isu itu telah menjadi perhatian awam selepas tular dalam media sosial dan turut dilaporkan oleh media tempatan. 

Menurut beliau, MCW menegaskan bahawa isu sebenar yang perlu diberi perhatian bukanlah soal kaum atau etnik semata-mata, tetapi persoalan integriti tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan bangunan dan kemungkinan berlakunya kecuaian atau salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

"Sekiranya bangunan tersebut dibina tanpa kelulusan pelan bangunan, kebenaran merancang, sijil keselamatan atau kelulusan pihak berkuasa tempatan, MCW mempersoalkan bagaimana sebuah struktur bersaiz besar boleh wujud dan beroperasi dalam tempoh yang lama tanpa tindakan berkesan daripada pihak berkuasa berkaitan. 

"MCW juga mengambil maklum bahawa premis berkenaan pernah diserbu dalam operasi bersepadu pada Februari tahun lalu yang membawa kepada penahanan puluhan warga asing oleh Jabatan Imigresen.  

"Namun demikian, persoalan yang masih belum terjawab ialah mengapa isu tersebut dilihat berlarutan sehingga hari ini," katanya dalam kenyataan media pada 10 Jun 2026.

Sehubungan itu, MCW menggesa:

i. Siasatan menyeluruh oleh PBT, Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen, PDRM dan Jabatan Bomba.

ii. Audit integriti terhadap proses penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

iii. SPRM menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah, perlindungan atau kecuaian yang membolehkan pembinaan dan pengoperasian bangunan tersebut berterusan.

iv. Pendedahan laporan status sebenar bangunan kepada orang ramai bagi mengelakkan spekulasi dan sentimen perkauman.

Jais berkata, Malaysia ialah sebuah negara yang berasaskan kedaulatan undang-undang. 

"Oleh itu, mana-mana individu, pemilik tanah atau penghuni, sama ada warganegara mahupun bukan warganegara, wajib mematuhi undang-undang negara. 

"Kegagalan bertindak secara tegas hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan pentadbiran awam," katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan