Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pengerusi majlis yang telah mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Institusi Undang Yang Empat Negeri Sembilan dalam sebuah program yang dihadiri pemimpin politik.
Ketuanya, Muhammad Irsyaduddin Mohd Fadzil berkata, kenyataan tersebut adalah tidak wajar, biadab dan dilihat mempermainkan kedudukan Institusi Undang Yang Empat yang merupakan institusi adat tertinggi serta mempunyai kedudukan yang amat dihormati dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
"Institusi Undang Yang Empat bukanlah bahan gurauan atau kiasan politik yang boleh digunakan sesuka hati demi meraih perhatian hadirin," katanya dalam kenyataan media pada 14 Jun 2026.
Dalam ucapan tersebut, pengerusi majlis berkenaan dilaporkan telah menyebut: “Dekat Negeri Sembilan orang panggil YB Anthony Tok Undang tau… Tok Undang yang kelima….. saya persilakan YB Anthony….”
Beliau menambah, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan berpandangan bahawa kenyataan sedemikian boleh ditafsirkan sebagai suatu penghinaan terhadap institusi adat Melayu Negeri Sembilan yang telah sekian lama menjadi tunjang kepada identiti, sejarah dan kedaulatan negeri ini.
Muhammad Irsyaduddin berkata, sebagai rakyat yang menghormati adat dan perlembagaan, setiap pihak sewajarnya menjaga tutur kata serta memahami sensitiviti berkaitan institusi adat dan diraja.
"Lebih membimbangkan, kenyataan tersebut turut mempunyai elemen yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja), khususnya melibatkan aspek institusi raja dan adat yang sentiasa menjadi perkara sensitif dalam negara.
"Oleh itu, sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham, ketegangan atau penghinaan terhadap institusi berkenaan tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap insiden ini dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya didapati terdapat unsur penghinaan atau pelanggaran undang-undang.
Muhammad Irsyaduddin memberitahu, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan juga menuntut agar pengerusi majlis tersebut tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan, khususnya kepada Institusi Undang Yang Empat, atas kenyataan yang telah menyinggung perasaan dan mencemarkan kemuliaan institusi adat negeri.
Menurut beliau, maruah dan kedaulatan Institusi Undang Yang Empat wajib dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.
"Sebarang cubaan memperlekeh atau menghina institusi ini tidak boleh dinormalisasikan dan mesti ditolak oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan.
"DS Sanusi dipanggil pukul 3 pagi, pengerusi majlis PH ini bagaimana pula?" soalnya.

0 Ulasan