Berikut adalah kenyataan media Datin Seri Rosmah Mansor pada 14 Jun 2026:
Saya mengeluarkan kenyataan ini sebagai respons kepada penyebaran meluas di pelbagai platform media sosial termasuk X (dahulunya Twitter) dan Facebook, berkaitan beberapa video yang mengandungi tuduhan serius, palsu dan berunsur fitnah terhadap saya serta ahli keluarga saya.
Saya dengan ini menyatakan dengan sejelas-jelasnya dan tanpa sebarang keraguan bahawa saya menafikan setiap satu daripada tuduhan tersebut secara keseluruhannya.
Saya tidak pernah terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan mana-mana hartanah mewah termasuk mana-mana hartanah yang didakwa bernilai AS$13 juta dan saya juga tidak pernah membiayai, memudah cara atau dalam apa jua bentuk mengatur sebarang urus niaga sedemikian bagi pihak menantu saya atau mana-mana individu atau entiti lain.
Tuduhan yang cuba mengaitkan saya dengan penggunaan syarikat proksi (shell companies), struktur kewangan luar pesisir (offshore), atau hubungan dengan mana-mana individu dan entiti yang dinamakan dalam video-video tersebut adalah sama sekali tidak berasas, sepenuhnya palsu dan direka secara berniat jahat.
Tuduhan-tuduhan ini tidak disokong oleh walau sedikit pun bukti yang boleh dipercayai dan tidak lebih daripada satu kempen terancang serta disengajakan untuk memfitnah saya dan mencemarkan nama baik keluarga saya.
Penerbitan dan penyebaran tuduhan-tuduhan ini jelas merupakan satu perbuatan fitnah dan penyebaran kenyataan palsu yang berniat jahat. Kandungannya mengelirukan, amat tidak bertanggungjawab dan jelas bertujuan memperdaya orang ramai, menjejaskan keyakinan terhadap proses yang sah di sisi undang-undang, serta menyebabkan kerosakan besar dan tidak dapat diperbaiki terhadap reputasi saya dan keluarga saya.
Memandangkan keseriusan perkara ini, saya telah membuat satu laporan polis rasmi pada 14 Jun 2026 agar pihak berkuasa yang berkaitan dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh dan lengkap terhadap individu-individu serta mana-mana pihak dan akaun yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan bahan palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah tersebut.
Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan kekal komited untuk berbuat demikian.
Saya juga menuntut dengan tegas agar pengendali semua platform media sosial yang berkaitan mengambil tindakan segera dan tegas untuk menurunkan, menyekat serta menghalang sebarang penyebaran lanjut bahan-bahan palsu dan berunsur fitnah tersebut.
Saya dengan ini mengekalkan semua hak yang tersedia kepada saya di sisi undang-undang, termasuk hak untuk memulakan tindakan sivil serta mengambil tindakan jenayah terhadap mana-mana individu atau pihak yang telah menerbitkan, menerbitkan semula, berkongsi atau terus menyebarkan tuduhan palsu dan memudaratkan ini.
Saya menyeru orang ramai dan pihak media agar bertindak secara bertanggungjawab dan berhemah, tidak menyebarkan kandungan yang tidak disahkan, palsu dan berunsur fitnah, serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka tanpa gangguan atau pengaruh, selaras dengan proses perundangan yang sewajarnya.
Kenyataan ini dikeluarkan tanpa menjejaskan segala hak dan remedi saya di sisi undang-undang, yang dengan ini dikekalkan sepenuhnya.

0 Ulasan