PKP Diteruskan Hingga 12 Mei Dengan Beberapa Kelonggaran (Teks Penuh Ucapan PM)




TEKS PERUTUSAN KHAS

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDINBIN HAJI MOHD YASSIN

PERDANA MENTERI MALAYSIA

23 APRIL 2020

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Apa khabar semua?

Saya harap saudara-saudari sihat wal-afiat dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat Allah s.w.t.

Pertamanya, saya nak mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Karim kepada semua umat Islam. Esok adalah hari pertama kita berpuasa. Jadi malam ini kita mulakan ibadat puasa kita dengan berterawih, niat berpuasa untuk esok hari dan awal pagi esok kita semua bangun untuk bersahur sebelum masuknya waktu Imsak.

Ibadah puasa adalah satu ibadah yang istimewa. Ia satu ibadat yang kita lakukan tanpa sesiapapun mengetahui kita sebenarnya sedang beribadat kepada Allah. Tidak seperti ibadat lain yang boleh dilihat dengan nyata dari segi perbuatan, ibadat puasa tidak boleh dilihat. Kita sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.

Hanya diri kita dan Allah sahaja mengetahui yang kita sebenarnya sedang berpuasa. Kita berpuasa kerana kita bertakwa kepada Allah, bukan untuk menunjuk kepada sesiapa.
Oleh sebab itu, Allah s.w.t. menyebut di dalam Al-Quran, ibadat puasa diwajibkan ke atas umat Islam agar kita semua bertakwa kepada-Nya. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

Yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Ertinya, orang yang bepuasa adalah orang yang ikhlas beribadat hanya kerana Allah, dan mereka itulah orang yang sebenar-benarnya beriman dan bertakwa kepada-Nya.


Bulan Ramadan juga adalah satu bulan yang mulia bagi umat Islam. Di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pelepasan dari azab neraka.

Kerana itu, umat Islam di seluruh dunia menyambut ketibaan bulan Ramadan dengan penuh pengharapan untuk melalui satu perjalanan kerohanian yang amat bermakna. Selain berpuasa, kita memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Kita membaca al-Quran, mendirikan solat terawih, qiyamullail, bersedekah kepada fakir miskin dan melakukan amal kebajikan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mempereratkan hubungan sesama manusia.

Dengan kata lain, Ramadan adalah satu bulan di mana kita berjihad melawan hawa nafsu, menyucikan jiwa, dan mengharapkan keredaan Allah. Di hujung Ramadan, kita bebas daripada dosa dan meraikan kemenangan.

Tiada Kesalahan Jenayah Dilakukan Fuziah - Ngeh Koo Ham

Sauadara-saudari yang saya kasihi,

Ramadan kali ini tidak kurang istimewanya. Malah, bagi saya ia lebih istimewa buat kita semua.

Sejak lebih sebulan yang lalu, kita berjihad melawan COVID 19. Sepertimana ibadat puasa, kita dikehendaki berjihad melawan hawa nafsu. Kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita.

Kita menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang kita suka. Kita tak keluar berjalan-jalan, kita tak menonton wayang bersama kawan-kawan, kita tak pergi melancong, kita tak makan di restoran kesukaan kita.

Bagi yang minat bersukan, mungkin dah lama anda tak main bola, tak main badminton, tak main bowling, tak berjogging, tak kayuh basikal. Anda cuma duduk di rumah sahaja. Ini satu jihad dan pengorbanan yang besar.

Tetapi, pengorbanan yang anda lakukan ini telah membuahkan hasil. Pertamanya, anda dan keluarga terselamat daripada jangkitan COVID 19. Keduanya, anda juga menyelamatkan orang lain daripada terkena jangkitan. Ketiganya, anda semua menyumbang kepada usaha membendung penularan wabak COVID 19 dalam masyarakat dan negara kita.



Hari ini, kes-kes baharu COVID 19 telah berkurang dengan ketara. Daripada ratusan kes baharu setiap hari di awal perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, Alhamdulillah pada hari ini kita bersyukur kerana kes-kes baharu telah menurun kepada puluhan kes sahaja. Insya Allah, dengan usaha-usaha yang sedang giat dilakukan oleh para frontliners kita, dan disiplin anda semua mematuhi PKP, kita akan dapat mengurangkan lagi kes-kes baharu COVID 19 ke tahap yang paling minima, dan membendung sepenuhnya penularan wabak ini.

Kita juga bersyukur kerana jumlah pesakit COVID 19 yang telah sembuh meningkat dengan ketara. Seramai 3,542 pesakit COVID 19, atau 63.2 peratus daripada keseluruhan pesakit telah pun sembuh setakat ini. Saya harap dengan rawatan yang diberikan dan doa kita semua, lebih ramai pesakit COVID 19 akan sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala. Sekali lagi kita bersyukur kerana negara kita merupakan antara negara yang mencatatkan kadar kesembuhan yang tertinggi di dunia.

Dengan penurunan kes COVID 19 yang ketara ini, dan kita harap trend ini akan berterusan, kerajaan telah memutuskan untuk memberikan sedikit kelonggaran. Saya ulang, sedikit kelonggaran. Bukan terlalu longgar.

Pertamanya, pelajar-pelajar yang masih berada di kampus, yang mana di peringkat awal dahulu mereka tak dibenarkan pulang kerana keadaan masih belum menentu dan kita nak pastikan mereka selamat, insya Allah boleh pulang ke rumah masing-masing sedikit masa lagi. Proses untuk membawa pelajar-pelajar ini pulang sedang dirancang oleh kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan.

Jumlah pelajar yang terlibat adalah besar, iaitu hampir 100,000 orang. Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ianya teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan. Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala COVID 19.

Kepada anak-anak kita yang berada di kampus, insyaAllah dalam tempoh yang tak berapa lama lagi, anda semua boleh pulang ke pangkuan keluarga.

Butiran terperinci mengenai pergerakan pulang ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat. Jadi, kepada ibu bapa sabar dulu. Beri sedikit masa kepada pihak kementerian yang berkaitan untuk menguruskan perkara ini. Saya tahu anda semua rindukan anak masing-masing. InsyaAllah, dalam sedikit masa lagi, anak-anak anda dah boleh berada di rumah. Yang penting mereka semua boleh pulang dengan selamat.


Keduanya, bagi anda yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan bagi tujuan ini. Kebenaran ini hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama.

Pergerakan ini tentunya akan melibatkan jumlah yang besar. Oleh itu, kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah yang terbaik untuk mengatur pergerakan saudara-saudari. 

Seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, mereka yang terlibat boleh mendaftar secara online di aplikasi yang disediakan oleh PDRM, atau membuat temujanji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.

Adalah penting untuk pihak polis mengatur perjalanan saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di hentian-hentian di lebuh raya. Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan. Butiran terperinci mengenai perkara ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, SEDIKIT kelonggaran. Bukan terlalu longgar. Pelaksanaan kedua-dua langkah ini juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha kita memerangi COVID 19.


Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Berdasarkan data-data yang dibentangkan kepada saya oleh Kementerian Kesihatan, saya dapati bahawa usaha-usaha untuk membendung wabak COVID 19 masih perlu diteruskan. 

Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan yang positif, langkah-langkah yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kita yakin wabak COVID 19 dapat dibendung sepenuhnya.

Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dijangka berakhir pada 28 April 2020 akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei 2020.

Dalam tempoh ini, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya. Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung. Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, jika kes-kes COVID 19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial. Ini untuk membolehkan saudara-saudari menjalani kehidupan yang lebih selesa. Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini.

Dengan kemungkinan pelanjutan tempoh PKP, kerajaan sedang mengkaji kaedah untuk memulihkan ekonomi, atau revive the economy, secara bertahap. Ini termasuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.

Najib Rayu Pemilik Hartanah Tangguh Kutipan Sewa Semasa Krisis Covid-19

Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh. Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenalpasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara.

Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS, serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan.

Saya tahu persoalan yang sedang bermain di fikiran saudara-saudari pada masa ini ialah bilakah saudara-saudari boleh kembali bekerja, atau kembali memulakan perniagaan atau operasi syarikat masing-masing.

Saya ingin memberikan sedikit bayangan. Walaupun PKP mungkin akan dilanjutkan lagi selepas ini, syarikat-syarikat dalam sektor-sektor tertentu akan dibenarkan beroperasi, tertakluk kepada pematuhan syarat yang mementingkan keselamatan pekerja, penjarakan sosial dan kebersihan tempat bekerja.

Pada masa ini pun beberapa sektor ekonomi telah dibuka. Selepas ini, kerajaan akan menimbang untuk membuka beberapa sektor dan sub-sektor yang lain tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. Ini untuk menjamin syarikat terus berdaya saing dan para pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran yang selamat. Garis panduan serta syarat-syarat yang terperinci akan diberikan kepada para pelabur dan sektor korporat untuk memulakan operasi syarikat masing-masing.

Jangan Potong Gaji Penjawat Awam, CUEPACS Bantah Cadangan Bos Mydin

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Kita masih belum menang dalam perang menentang COVID 19. Tetapi saya yakin insyaAllah kita akan menang.

Yang penting ialah jihad dan istiqamah. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, tingkatkan jihad kita memerangi COVID 19. Teruslah istiqamah dengan usaha kita.

Tak mengapa Ramadan kali ini kita tak pergi ke bazar Ramadan. Tak makan nasi beriyani, murtabak atau juadah kuih-muih yang kita suka. Yang penting kita selamat daripada wabak COVID 19.

Kita lihat secara positif. Mungkin inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa. Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya. Makan masakan isteri kita dan tidak membazir. Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh post dalam grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’.

Tak mengapalah kita tak dapat mendirikan solat terawih secara berjemaah di masjid. Mungkin ini peluang yang Allah s.w.t. berikan kepada kita untuk berjemaah bersama keluarga di rumah. Jika tidak sekarang, bila lagi. Kita jadi imam, anak dan isteri jadi makmum. InsyaAllah, ganjaran pahala dan barakah yang kita terima tidak kurang besarnya.

RM14,000 Menanti Pemenang Pertandingan Filem Dakwah Pendek Anjuran PAS

Apa yang penting, kita lalui jihad ini bersama-sama. Seperti bulan Ramadan, di akhirnya adalah kemenangan buat kita semua dalam melawan hawa nafsu. Kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t, mudah-mudahan di akhir jihad kita melawan COVID 19, kita juga akan diberikan kemenangan, kesihatan dan keselamatan daripada wabak penyakit ini.

Mudah-mudahan bulan Ramadan yang mulia ini akan membawa rahmat kepada kita semua. Banyakkan berdoa kepada Allah, mohon pertolongan daripada-Nya, insyaAllah kita semua akan dilindungi daripada sebarang musibah, amin ya rabbal alamin.

Kepada frontliners yang akan berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas, saya harap anda terus tabah. InsyaAllah, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t.

Saya dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Karim kepada semua umat Islam di negara ini dan di mana jua anda berada.


Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Catat Ulasan

0 Ulasan