Jangan Potong Gaji Penjawat Awam, CUEPACS Bantah Cadangan Bos Mydin

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah cadangan peribadi Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin supaya gaji pegawai awam dipotong bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung kerajaan akibat pandemik COVID-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan itu adalah tidak wajar dan tidak kena pada masanya.

Jelas beliau, ketika ini, kerajaan yang ditunjangi penjawat awam sedang berusaha sedaya upaya mengawal penularan virus tersebut.

"Sebagai seorang usahawan yang berjaya dan berpengaruh, CUEPACS merasakan Datuk Ameer sewajarnya bersama dengan penjawat awam ke arah usaha membantu negara menghadapi krisis penularan COVID-19.

"Cadangan atau kenyataan yang dibuat secara umum itu bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap penjawat awam, malah boleh melunturkan semangat penjawat awam yang ketika ini sedang bertungkus-lumus mengekang penularan COVID-19," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Adnan menambah, krisis yang dihadapi negara pada hari ini bukanlah perkara yang diingini oleh semua rakyat termasuk yang bergelar penjawat awam.

Beliau berkata, sekiranya pada hari ini rakyat berasa selesa boleh menjalani kehidupan, mudah mendapatkan bekalan untuk meneruskan kehidupan, ini bermakna penjawat awam telah menjalankan tugas mereka.

"Penjawat awam masih lagi menjalankan tugasnya seperti biasa. 

"Mereka yang berada di barisan hadapan tetap tenang menjalankan tugas tidak kira hujan panas dan terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19," jelasnya.


Adnan menyatakan, mereka yang berada di belakang tabir seperti pembantu tadbir tetap dengan tugas membantu seperti biasa di jabatan untuk membantu barisan hadapan dan ada juga yang melaksanakan tugasan yang diberikan di rumah. 

Malah, kata beliau, para guru terus menjalankan tugasnya mengadakan sesi pembelajaran secara dalam talian. 

"Ini bermakna penjawat awam masih menjalankan tugasnya seperti biasa dan kerana itulah negara kita berada dalam keadaan selesa untuk mengekang pandemik COVID-19 ini," ujarnya.


Pada masa yang sama, Adnan berkata, CUEPACS juga menyeru kepada semua pihak agar tidak membuat pelbagai andaian dan mempertikaikan sedikit kemudahan yang diberikan kepada penjawat awam ketika semua rakyat di negara ini diminta untuk bersatu. 

"Dalam pada itu, CUEPACS berharap penjawat awam terus fokus dengan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara berjaya mengekang sepenuhnya penularan virus yang telah mengubah rutin harian semua rakyat," katanya.



Catat Ulasan

0 Ulasan