Pakatan Harapan Plus idea mengarut anti-Persekutuan



BEKAS Timbalan Menteri Pertahanan 22 bulan, Liew Chin Tong baru-baru ini mencadangkan supaya diwujudkan blok baharu yang dinamakan Pakatan Harapan Plus.

Negeri-negeri yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah disarankan supaya menyertai blok tersebut.

Objektif penubuhan blok tersebut konon-kononnya adalah untuk membolehkan kelima-lima negeri berkenaan bersatu untuk merumus keputusan serta memimpin jalan ke arah norma baharu pentadbiran yang demokratik dan cekap.

Konon-kononnya, mereka mahu bergerak maju dalam menangani COVID-19 dan cabaran akan datang.

Konon-kononnya, kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) ketika ini tidak tahu bagaimana untuk mengkoordinasi secara mendatar atau menegak.

Kenyataan penuh Chin Tong boleh dibaca melalui pautan ini: Masa Terbaik untuk Pengagihan Kuasa Pusat kepada Negeri

Tidak diketahui apa motif yang terselindung di sebalik idea Pakatan Harapan Plus.

Namun, sekiranya idea itu direalisasikan, ia boleh mencabar kuasa kerajaan Persekutuan.


Apakah lima negeri terbabit akan bersolidariti untuk menolak dasar-dasar membela kebajikan rakyat secara keseluruhan yang digubal di peringkat Persekutuan?

Bagaimana pula dengan kerjasama Persekutuan-negeri dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat?

Adakah semua itu akan dikorbankan semata-mata kerana PH dengki melihat sokongan padu rakyat terhadap pentadbiran PN?

Gagasan Pakatan Harapan Plus juga membuktikan betapa besar kepalanya PH walaupun setelah jatuh tersungkur selepas hanya 22 bulan memporak-perandakan negara.

Seolah-olah mereka masih menganggap dasar-dasar sampah yang digubal rejim PH dahulu lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan PN sekarang.

Apa mereka ingat mata rakyat sudah buta sehingga tidak dapat membezakan mana satu intan dan mana satu permata?

Yang buta mata dan buta hati sebenarnya pemimpin-pemimpin PH yang sehingga kini masih gagal menerima hakikat mereka tumbang disebabkan kesilapan sendiri.

Penyokong-penyokong PH pun sudah berani bersuara secara terang-terangan mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh sebagai punca kejatuhan rejim berkenaan.


Yang peliknya mereka langsung tak berani mengecam kepimpinan DAP yang banyak menggores perasaan orang Melayu dan umat Islam.

Kedah pun berdepan krisis yang kronik sehingga boleh menyebabkan rejim PH di negeri itu jatuh macam nangka busuk jika masalah yang dihadapi gagal ditangani.

Bersatu pula terpecah dua kepada kem Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kem Tun Mahathir.

Prinsip keadilan dalam PKR pula dipersoalkan pemimpin-pemimpinnya sendiri ekoran sikap dwistandard dalam menghukum ahli-ahli yang didakwa melanggar disiplin parti.

DAP sedang teruk dikecam rakyat kerana dosa-dosa silam yang mereka lakukan manakala PAN seolah-olah tak wujud langsung.


Bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah dalaman PH yang semakin meruncing, maka keluarlah idea mengarut seperti Pakatan Harapan Plus.

Idea bersifat anti-Persekutuan ini menunjukkan PH lebih mementingkan agenda politik sempit yang menyusahkan rakyat dalam keadaan kerajaan Persekutuan berhempas-pulas memerangi pandemik COVID-19 dan membantu rakyat menangani kesannya.

Apa salahnya PH berjiwa besar dan bersikap matang dengan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan, sekurang-kurangnya sehingga negara bebas daripada ancaman COVID-19?

Ketepikanlah sekejap ego dan cauvinisme yang tak memberi faedah walau satu sen pun kepada rakyat dan negara.


Catat Ulasan

0 Ulasan