Anwar sokong titah Tuanku Muhriz agar Aminuddin terus jadi MB

 

Gambar: FB Fahmi Fadzil

Berikut adalah kenyataan media Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 April 2026:

Saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus malam tadi bagi membincangkan perkembangan melibatkan institusi Raja dan pentadbiran Kerajaan Negeri, selain menjunjung kasih atas kebijaksanaan Duli Tuanku dalam menangani perkara ini.

Dalam pertemuan tersebut, saya menyokong titah Duli Tuanku agar YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa. Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna.

Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan Undang. Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan.

Saya juga menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja dan undang-undang negeri.

"Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri."

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan