Berikut adalah kenyataan media bersama Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan pada 27 April 2026:
Setelah perbincangan bersama dilakukan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan dengan ini menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YB Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias, bersama 13 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hari ini.
Keputusan untuk menarik sokongan terhadap YAB Menteri Besar Negeri Sembilan adalah satu langkah yang berat namun wajib diambil demi menjaga kemuliaan institusi yang kita sanjung.
Kami ingin memberi penekanan bahawa:
1. Kegagalan Kepimpinan dalam Mengurus Krisis Adat
Kami melihat kegagalan YAB Menteri Besar dalam mengurus ketertiban krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan sebagai satu kelemahan kepimpinan yang amat serius. Negeri Sembilan adalah negeri yang unik dengan payung Adat Perpatih. Kegagalan untuk menangani isu ini dengan bijaksana bukan sahaja mencalar keharmonian rakyat, malah menggugat struktur asas yang menjadi identiti Negeri Sembilan sekian lama.
1. Membelakangkan Prinsip Musyawarah dan Barisan Exco
Kami mengecam tindakan YAB Menteri Besar yang tidak merujuk atau mengadakan sebarang perbincangan di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri (Exco) sebelum krisis ini mencapai tahap kritikal.
1. Benteng Terakhir Institusi Adat dan Perlembagaan
Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO ingin menegaskan bahawa UMNO/Barisan Nasional adalah benteng terakhir yang akan tetap mempertahankan Institusi Adat, Perlembagaan, serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
"Biar mati anak, jangan mati adat." - Prinsip ini bukan sekadar slogan, tetapi darah daging kami. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dilihat gagal atau cuba memperlekehkan kedaulatan undang-undang tubuh negeri demi agenda politik peribadi.
Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan berdiri teguh di belakang kepimpinan YB Datuk Seri Haji Jalaluddin Alias. Kami menyeru seluruh akar umbi untuk bertenang dan bersatu hati dalam memastikan maruah negeri dan parti terus terpelihara. Kestabilan negeri hanya boleh dicapai dengan kepimpinan yang menghormati struktur adat dan menghargai kesetiaan rakan seperjuangan.
.svg.png)
0 Ulasan