CUEPACS gesa teruskan rawatan pesara kerajaan di IJN



Berikut adalah kenyataan penuh Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat berhubung isu rawatan pesara kerajaan di IJN:

TERUS BERIKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN TERBAIK KEPADA PENJAWAT AWAM DAN PESARA. TIADA ISTILAH PENJIMATAN UNTUK KEPERLUAN ASAS

CUEPACS menggesa kerajaan untuk terus mengekalkan keistimewaan sedia ada yang diterima oleh penjawat awam semasa berkhidmat atau selepas persaraan terutama dalam hal melibatkan penerimaan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). CUEPACS melahirkan rasa bimbang dengan situasi semasa yang berlaku terutama dalam hal melibatkan pesakit-pesakit jantung dalam kalangan penjawat awam dan pesara dikeluarkan daripada IJN. Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi maklum balas bahawa kes tersebut melibatkan pesakit yang sudah stabil, CUEPACS berpandangan adalah lebih wajar kerajaan terus terus membenarkan pesakit sedia ada di IJN kekal mendapatkan rawatan terbaik di situ tanpa perlu mengeluarkan atau merujuk semula mereka ke hospital-hospital lain milik KKM. KKM sendiri memaklumkan mereka telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN bertujuan untuk mengurangkan 'kesesakan dan masa menunggu yang lama' di Pusat Jantung milik KKM. 




Tindakan mengeluarkan pesakit sedia ada di IJN hanya akan menyebabkan kesesakan dan masa menunggu yang lama di Pusat Jantung KKM yang sememangnya sudah mempunyai pesakit sedia ada. Langkah tersebut juga mengakibatkan pesakit yang dikeluarkan daripada IJN terpaksa menunggu giliran lebih lama untuk dirawat memandangkan rekod semasa mereka di hospital lain masih baru dan perlu memberi ruang kepada pesakit sedia ada. Sekiranya perkara ini terus berlaku pada masa hadapan, CUEPACS bimbang kebajikan penjawat awam dan pesara akan diabaikan terutama dalam mendapatkan rawatan yang terbaik apabila mereka tidak sihat. Suatu mekanisme atau pendekatan lain boleh diambil oleh kerajaan sekiranya kos perbelanjaan yang menjadi punca utama permasalahan ini berlaku. Langkah penjimatan tidak seharusnya dijadikan asas dalam soal pemotongan perbelanjaan berkaitan penjagaan kesihatan kerana ia adalah keutamaan kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam dan pesara. Pemotongan kos untuk langkah penjimatan harus disasarkan kepada program ‘ad hoc' lain yang tidak mempunyai keutamaan di semua peringkat kerajaan dan bukannya melibatkan perkara berkaitan keperluan asas rakyat.

PRESIDEN CUEPACS
DATO DR ADNAN MAT

Catat Ulasan

0 Ulasan