Bekas ahli mahu masuk UMNO kembali mesti 'taubat nasuha' - Mustapha


Veteran UMNO berpandangan, usaha menerima kembali bekas ahli UMNO yang dibuang dari UMNO mesti dilaksanakan secara berhati-hati. 

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia bagi mengelak sebarang salah langkah yang boleh membawa kesan buruk kepada parti. 

Walau bagaimanapun katanya, syarat-syarat yang ketat hendaklah dikenakan kepada mereka. 

"Mereka perlu 'taubat nasuha' sebelum diterima kembali," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mustapha menambah, cadangan Ahli MKT UMNO yang juga Pengerusi BPUN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias itu berniat baik bagi memberi peluang kedua kepada mereka. 

Menurut beliau, sekiranya tindakan menerima semula mereka ke dalam UMNO boleh memperkuatkan parti maka Veteran UMNO menyokong sepenuhnya. 

"Tetapi sekiranya kemasukan semula ke dalam UMNO boleh memecah belahkan parti maka lebih baik mereka berada di luar UMNO," jelasnya.

Pada masa yang sama, Mustapha berkata, tidak timbul UMNO terdesak seperti yang didakwa oleh bekas Ahli MKT UMNO, Isham Jalil. 

"Ahli UMNO bertambah setiap hari walaupun ramai yang mati. 

"Tidak dinafikan ramai ahli UMNO yang mengambil pendirian tunggu dan lihat dan tidak berpuas hati dengan kerjasama UMNO/PH sekarang tetapi mereka tetap ahli UMNO," ujarnya.




Menurut beliau, sepanjang sejarah UMNO, ramai pemimpin yang keluar atau dibuang parti diterima balik, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Mustapha berkata, tidak pelik sekiranya ia berlaku sekarang demi mempertahankan UMNO.

"Biduk lalu kiambang bertaut. Carik-carik bulu ayam boleh bercantum semula. 

"Apa yang penting adalah semua pihak mesti ikhlas dan sanggup melupakan cerita lama," katanya.

 

Catat Ulasan

0 Ulasan