KKM jangan ambil tindakan petugas kesihatan tulis nota di papan putih - CUEPACS


Berikut adalah kenyataan penuh Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berhubung isu kekurangan doktor dan petugas kesihatan di hospital kerajaan:

Kerajaan perlu melakukan siasatan menyeluruh mengenai isu kekurangan doktor dan petugas kesihatan yang sedang berlaku di hospital-hospital kerajaan ketika ini. 

Kejadian tular memaparkan gambar papan putih di sebuah fasiliti kesihatan yang memohon maaf dan memaklumkan mengenai kekurangan doktor bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. 

Perkara ini membabitkan isu kebajikan petugas kesihatan itu sendiri serta kemampuan fasiliti kesihatan negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. 

Kita pernah menghadapi situasi dimana penularan Covid-19 sebelum ini hampir melumpuhkan sepenuhnya fasiliti kesihatan negara. 

Pengalaman tersebut sewajarnya menjadi pengajaran kepada kerajaan untuk memperkukuhkan lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan di pelbagai peringkat bagi mengelakkan fasiliti kesihatan terpaksa beroperasi tanpa petugas mencukupi sehingga ada yang dikerah bertugas lebih masa demi menampung kekurangan tersebut.

CUEPACS tidak mahu isu kebajikan petugas kesihatan ini diabaikan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa. 

Mereka ini tetap manusia yang memerlukan rehat mencukupi, melakukan aktiviti sosial yang sihat dan mempunyai keluarga yang perlu diberi perhatian juga.

CUEPACS menyeru semua ketua jabatan memainkan peranan yang penting termasuk menyelesaikan aduan kakitangan dengan sebaik mungkin dalam perkara mengatasi kekurangan petugas kesihatan.




Sekiranya ketua jabatan tidak dapat menyelesaikannya, salurkan isu tersebut kepada pihak atasan di Kementerian Kesihatan termasuk mengutamakan pengisian jawatan secara segera jika berlaku kekurangan kakitangan. 

Sudah tiba masanya pihak atasan mengambil serius pandangan disuarakan kesatuan atau wakil kakitangan kerana hal kebajikan petugas barisan hadapan tidak boleh dipandang sebelah mata. 

Isu berkaitan kekurangan tenaga kerja, kemudahan asas di fasiliti bertugas tidak wajar dianggap remeh kerana ia memberi kesan yang tidak baik kepada keseluruhan perkhidmatan kesihatan negara. 

Dalam masa yang sama CUEPACS berharap Kementerian Kesihatan tidak mengambil sebarang tindakan kepada petugas kesihatan yang menulis nota di papan putih tersebut. 

Perkara itu perlu ditangani dengan positif oleh Kementerian Kesihatan tanpa mengabaikan keluh kesah yang diutarakan demi memastikan kebajikan penjawat awam tetap diutamakan. 

Catat Ulasan

0 Ulasan