Syarikat suami Hannah Yeoh lepas saringan awal APAD - Exco Selangor

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han mempertahankan keputusan kerajaan negeri Selangor memberi Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) kepada suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau hari ini:

Kenyataan ini bertujuan menjelaskan beberapa silap faham dan pandangan yang memesong daripada fakta berkait penglibatan syarikat dalam proses proof of concept usaha bus-on-demand di Negeri Selangor.

Pertama, pandangan bahawa hanya satu syarikat yang terlibat iaitu Asia Mobility Sdn. Bhd. adalah tidak benar.

Sebenarnya, dua syarikat yang dilibatkan bagi proses proof of concept bus-on-demand di Selangor, iaitu Asia Mobility Sdn. Bhd. dan Badan Bas Coach Sdn. Bhd.

Kedua, proses penglibatan kedua-dua syarikat yang menyertai proof of concept dibuat secara proses Request-for-Proposal (RfP) dan bukan rundingan terus seperti yang didakwa segelintir pihak.

Keputusan untuk melibatkan hanya dua syarikat ini iaitu Asia Mobility dan Badan Bas diambil kerana apabila Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk memulakan proses proof of concept bus-on-demand ini, hanya dua syarikat yang diberikan lesen untuk
menyertai proof of concept oleh agensi Persekutuan iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat yang dikenali sebagai APAD.

Tugas APAD adalah untuk menetapkan syarat dan garis panduan supaya syarikat yang menyertai proof of concept ini dapat menepati piawaian yang ditetapkan, mempunyai armada bas mini atapun van sendiri, had usia kenderaan yang tidak melebihi 10 tahun, pemandu yang mempunyai lesen kelas D yang sah serta bebas daripada senarai hitam
Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis DiRaja Malaysia.

Kesemua syarat termasuk yang di atas perlu dipatuhi sebelum APAD melesenkan mana-mana syarikat.

Berdasarkan maklumat ini, Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk melibatkan kedua-dua syarikat dalam proses proof of concept secara sama rata supaya satu syarikat tidak memonopoli proses pengujian ini dan warga Selangor dapat menilai keberkesanan, keselesaan dan tahap efektif perkhidmatan yang disediakan.




Tambahan kepada itu, lesen proof of concept yang diberikan oleh APAD kepada kedua-dua syarikat ini hanya sah sehingga 31 Ogos 2024, bukannya untuk tempoh berpuluh tahun dan bukan diperbaharui secara automatik.

Itu menjadi asas kepada keputusan Jawatankuasa Kerajaan Negeri yang menetapkan bahawa tempoh proof of concept ini adalah hanya selama tempoh 9 bulan, iaitu dari bulan November 2023 dan akan tamat pada Julai 2024.

Ini bermaksud tempoh proof of concept akan tamat sebelum lesen yang diberikan oleh APAD kepada kedua-dua syarikat ini tamat tempohnya.

Sejak tempoh proof of concept ini bermula, seramai 40,674 warga Selangor telah memanfaatkan perkhidmatan bus on demand di kesemua lapan laluan, iaitu empat
laluan yang dioperasikan oleh Asia Mobility di Ampang, Hulu Kelang, Puchong, UPM-Serdang, manakala empat lagi laluan oleh Badan Bas iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan, dan Sungai Buloh.

Malah, peruntukan yang disalurkan kepada kedua-dua syarikat untuk memberikan subsidi kepada setiap pengguna yang menaiki bus on demand adalah sama rata, iaitu RM2.1 juta bagi sepanjang tempoh proof of concept.

Bayaran ini tidak disalurkan secara sekali gus tetapi secara berperingkat melalui 3 fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri.

Kos yang dianggarkan bagi setiap pengguna bagi setiap perjalanan adalah RM5, tetapi untuk menggalakkan lebih ramai warga Selangor untuk menggunakan perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri menanggung kos RM3 bagi setiap penumpang dan mereka hanya perlu membayar RM2 setiap kali menggunakan perkhidmatan ini.

Merujuk kepada persoalan mengapa Ram Ramachandaran yang merupakan suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh diberikan kontrak Kerajaan Negeri, penting untuk dinyatakan bahawa penilaian oleh Jawatankuasa dibuat berdasarkan kemampuan syarikat yang telah melepasi saringan awal oleh APAD dan kemudiannya diberikan kelulusan menyertai proof of concept.

Tambahan kepada itu, satu lagi syarikat yang berkait dengan tokoh perniagaan Melayu yang berpengalaman dalam industri ini, iaitu Badan Bas Coach Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh Tan Sri Nadzmi Mohd Salleh turut diberikan peluang yang sama untuk mengukuhkan usaha pengangkutan awam Kerajaan Negeri yang berhasrat menyediakan perkhidmatan van dan bas mini kepada warga Selangor pada harga dan kos yang berpatutan.

Sehubungan dengan itu, pada awal bulan ini, Kerajaan Negeri telah menerima cadangan daripada satu lagi syarikat yang berhasrat terlibat sama dalam proses proof of concept, iaitu Kumpool Sdn. Bhd. yang telah menerima kelulusan daripada APAD untuk menyertai proof of concept.

Cadangan ini sedang dinilai supaya dapat dilibatkan dalam fasa berikutnya.

Kerajaan Negeri yakin bahawa proses penilaian Request for Proposal dan keputusan melibatkan syarikat-syarikat ini dilaksanakan dengan hemat dan asas yang kukuh serta menepati syarat dan garis panduan undang-undang sedia ada.

Pentadbiran ini juga bersedia membentangkan keseluruhan proses penilaian ini kepada pihak berkuasa sebagai komitmen ketelusan dan kebertanggungjawaban Kerajaan
Negeri terutamanya dalam perkara yang melibatkan perbelanjaan peruntukan negeri.


Catat Ulasan

0 Ulasan