Azmin gesa kerusi DUN Selat Klang diisytihar kosong


Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa Speaker DUN Selangor, Lau Weng San mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Selat Klang.

Menurut beliau, tindakan itu perlu diambil memandangkan keahlian ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dalam Bersatu telah terhenti ekoran sokongannya kepada Kerajaan Perpaduan Selangor.

Berikut adalah kenyataan penuh Azmin hari ini:

Petang ini saya telah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Lau Weng San di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam untuk menyerahkan notis bertulis kekosongan luar jangka kerusi Ahli Dewan Negeri Selat Klang menurut Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Saya telah menarik perhatian Speaker Dewan mengenai Perkara LXVA (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang menyebut, "Apabila Speaker Dewan menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Negeri mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Negeri di bawah Perkara ini, Speaker Dewan hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu."




Tertakluk kepada peruntukan Perkara LXVA (1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, seseorang ahli Dewan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker Dewan di bawah Fasal (3) jika ahli Dewan Negeri yang berkenaan tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.

Dalam hal ini, saya telah memaklumkan kepada Speaker Dewan bahawa status YB Datuk Abdul Rashid bin Asari yang tidak lagi menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadikan beliau terhenti menjadi ahli Dewan Negeri Selat Klang dan kerusi Selat Klang hendaklah dikosongkan. Speaker Dewan juga telah dimaklumkan bahawa satu notis pemakluman telah disampaikan kepada YB Datuk Abdul Rashid bin Asari pada 12 Jun 2024 yang memaklumkan bahawa keahlian beliau dalam BERSATU terhenti serta merta seperti yang termaktub di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU kerana ketidakpatuhan YB Datuk Abdul Rashid bin Asari kepada Arahan MPT BERSATU di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan BERSATU yang dikeluarkan pada 17 Mei 2024. 

Saya turut menarik perhatian Speaker Dewan mengenai Akta Pertubuhan 1966 yang menegaskan bahawa keputusan sesuatu parti politik tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif.

Saya memohon Speaker Dewan untuk membuat pemastian bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka untuk kerusi Selat Klang dan seterusnya, menurut Perkara LXVA (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Speaker Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh penerimaan notis bertulis yang saya serahkan secara tangan kepada Speaker Dewan pada hari ini supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan kerusi Selat Klang.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Speaker Dewan berpegang kepada dan mempertahankan Perlembagaan Persekutan; Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan undang-undang negara dalam menjalankan tugas dan fungsi beliau di bawah Perkara LXVA (3) Undang - Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Sayugia diingatkan juga Speaker Dewan perlu mematuhi dan menunaikan Sumpah jawatan beliau untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negeri Selangor (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959).

Pertemuan saya dengan Speaker Dewan Negeri Selangor petang ini turut dihadiri oleh YB Tuan Shafie Ngah, Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal.

YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali 
Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor
Perikatan Nasional
21 Jun 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan