Bersih kecewa lantikan Pengerusi SPR tidak melalui JK Parlimen


Berikut adalah kenyataan media Bersih hari ini yang kecewa kerana pelantikan Pengerusi SPR yang baharu, Datuk Seri Ramlan Harun dibuat tanpa melalui Jawatankuasa Parlimen:

Pengerusi SPR baharu: Selepas tiga kali Kerajaan Perpaduan langgar janji, apa lagi yang tinggal untuk reformasi pilihan raya? 

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kecewa dengan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana melanggar janji pilihan raya buat kali ketiga, dengan melantik Pesuruhjaya SPR tanpa melalui Jawatankuasa Parlimen. 

Lantikan ini tetap diteruskan walaupun pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKP) Pilihan Raya, Reformasi Institusi dan Hak Asasi, YB William Leong, telah mengeluarkan kenyataan pada 17 Mei 2024 bahawa JPKP telah bersetuju serta bersedia untuk meneliti pelantikan Pengerusi SPR yang baharu. Pengumuman lantikan ini adalah bertentangan permintaan JPKP bahawa lantikan tersebut perlu dijalankan secara terbuka dengan melibatkan Parlimen, sekaligus menafikan peranan Parlimen.

Apa yang lebih merisaukan, proses lantikan ini seolah-olah bercanggah dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa anggota SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja (MRR). Setakat yang kami maklum, tidak ada mesyuarat MRR dalam masa terdekat. Maka persoalannya kepada Perdana Menteri, adakah lantikan ini mendahului MRR?

Kami kesal dengan ketiadaan sebarang ketelusan dalam proses lantikan ini. Walau bagaimanapun, kami tetap mengucapkan selamat kepada Pengerusi SPR baharu, Ramlan Harun, agar beliau melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang terbaik dalam memimpin suruhanjaya ini. Kami berharap Pengerusi SPR baharu mempunyai iltizam untuk melaksanakan reformasi pilihan raya dan mengekalkan dasar pintu terbuka untuk bertemu dengan pihak berkepentingan daripada pertubuhan masyarakat sivil. Pengerusi SPR baharu juga perlu lebih berani dan proaktif untuk memacu agenda reformasi pilihan raya termasuk menjadikan penjalanan pilihan raya lebih adil, khususnya dengan salahguna sumber kerajaan yang berleluasa semasa kempen pilihan raya. 

BERSIH juga mengingatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), bahawa mereka telah menjanjikan dalam manifesto mereka (Buku Harapan dan PADU) bahawa semua jawatan utama akan disemak melalui Jawatankuasa Parlimen, termasuk Pesuruhjaya SPR, SPRM dan Gabenor Bank Negara. 

BERSIH akan menghantar memorandum yang mengandungi tuntutan reformasi pilihan raya yang perlu disegerakan kepada kepimpinan baharu SPR di Menara SPR di Putrajaya dalam tempoh terdekat selepas PRK Sungai Bakap. Kami percaya Pengerusi SPR baharu bersedia untuk bertemu dengan kami secara profesional, kerana hal ini akan menjadi ujian litmus sama ada kepimpinan baharu ini cenderung kepada agenda reformasi atau tidak. 




Pengumuman oleh Kerajaan Madani ini datang selepas dua perkembangan yang regresif: pertama, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyatakan bahawa RUU Akta Perkhidmatan Parlimen akan sekali lagi ditangguhkan ke sesi parlimen yang berikutnya; dan kedua, penggunaan Akta Hasutan untuk menyiasat Mukmin Nantang daripada Borneo Komrad berkenaan pengusiran etnik Bajau Laut. 

Berdasarkan perkembangan ini, Putrajaya mengesahkan penilaian BERSIH awal bulan ini di mana kami memberikan markah “F” untuk reformasi pilihan raya. Kepada saudara Anwar, beliau telah bersiaga untuk memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993, dan tidak dapat tidak kita pasti akan tertanya, adakah ini saja reformasi yang beliau dapat lakukan selepas persediaan selama 31 tahun?

 Dikeluarkan oleh: 

Catat Ulasan

0 Ulasan