Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan cadangan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan bekas pembantunya, James Chai di London sebagai membazir wang pembayar cukai.
Menurut beliau, Rafizi menyebut dua perkara mengapa James belum pulang ke Malaysia untuk diambil keterangan dalam kes projek semikonduktor ARM Ltd.
Mohd. Puad berkata, pertama James kurus dan saiz kecil serta takut dibuli oleh SPRM semasa sesi soal siasat.
"Kedua, James mungkin akan digunakan oleh SPRM untuk mengenakan Rafizi.
"Andaian Rafizi memang berniat jahat," katanya dalam hantaran Facebook pada 6 April 2026.
Beliau menambah, Rafizi mendesak James diberi layanan sama rata dan mahu SPRM ke London mengambil keterangan James.
Mohd. Puad berkata, Rafizi membandingkan tindakan SPRM pergi ke Riyadh mengambil keterangan daripada dua putera Arab Saudi berkaitan isu dana politik.
Menurut beliau, SPRM juga ke Jakarta untuk ambil keterangan daripada bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
"Putera Arab itu bukan warganegara. Menantu Ismail Sabri bermastautin di Jakarta. Wajarlah SPRM cari mereka.
"Kenapa suruh SPRM membazir duit pembayar cukai untuk siasat James di London?
"Begitulah Rafizi (Yang Berhenti Menteri). Makin dwistandard bila bergelar YBM," katanya.

0 Ulasan