Boleh buang penjawat awam bermasalah - CUEPACS


CUEPACS mengambil maklum teguran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kecenderungan agensi penguatkuasaan tertentu yang ‘menyimpan’ pegawai bermasalah dalam isu salah laku dan rasuah. 

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, dalam hal ini, pandangan CUEPACS senada dengan EAIC iaitu mana-mana ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai tersebut boleh dianggap melakukan satu kesalahan. 

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengesyorkan untuk menetapkan setiap ketua jabatan tidak akan diberi kenaikan pangkat sekiranya diketahui terdapat pelanggaran tadbir urus dan integriti melibatkan jabatan atau unit diselia yang tidak dilaporkan atau diambil tindakan sewajarnya. 

"Secara asasnya CUEPACS mengambil perhatian serius mengenai perkara ini namun tetap yakin ia hanya melibatkan segelintir kumpulan ketua jabatan daripada agensi penguatkuasaan tertentu yang tidak ambil peduli dengan isu salah guna kuasa dan rasuah dikalangan kakitangan mereka.

"Dalam perkara ini sewajarnya menjadi satu tanggungjawab besar yang perlu dimainkan di peringkat ketua jabatan untuk melakukan prosedur tertentu berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya dalam kenyataan media, hari ini.




Adnan berkata, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib penjawat awam sudah diwartakan dengan jelas melalui Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagai panduan untuk semua ketua jabatan. 

Beliau memberitahu, seseorang penjawat awam itu boleh dikenakan tindakan/hukuman seperti amaran, denda, lucuthak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja jika ia didapati bersalah kerana melanggar mana-mana peruntukan dalam peraturan-peraturan yang ditetapakan. 

"Justeru isyor EAIC untuk tidak 'menyimpan' atau dalam istilahnya buang kerja sememangnya boleh dilaksanakan berdasarkan prosedur yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," jelasnya.

Adnan menambah, sebagai seorang pemimpin perlu ada sifat-sifat yang berani bertindak dan menjauhi perkara-perkara yang membawa kepada pelanggaran etika dan peraturan dalam perkhidmatan awam. 

Beliau berkata, sekiranya ketua jabatan yang mempunyai kuasa untuk bertindak menjalankan tanggungjawab dengan berkesan, sudah tentu organisasi akan menjadi lebih kompeten dan berdaya maju.

"CUEPACS berharap semua penjawat awam tidak kira pelbagai peringkat jawatan mengambil peranan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada dalam tahap yang terbaik. 

"Salah laku dalam perkhidmatan awam adalah suatu perkara yang amat kita tegah termasuklah menyembunyikan atau membiarkan salah laku tersebut terus berlaku," ujarnya.

Check out LEGA HQ ORIGINAL!!! | jus lega PEK COMBO Pembersih Kolesterol. 2 botol jus lega (350ml) for RM126.10. Get it on Shopee now! https://s.shopee.com.my/1fxS8oGRYw


Catat Ulasan

0 Ulasan