Penduduk Mukim 5 Sg Bakap tolak projek panadol selesai masalah air

Gambar hiasan: Pexels


Berikut adalah kenyataan media Jawatankuasa Bertindak masalah air Mukim 5 Sungai Bakap semalam:


1. Komitmen semak imbang dalam sistem demokrasi yang dimainkan oleh almarhum YB Norzamri Latif (Abang Zam) telah memberi sinar baru terhadap proses perubahan apabila isu gangguan air di Mukim 5 ini tak pernah selesai selama lebih 6 tahun berjaya dibawa masuk ke dalam dewan undangan negeri.

2. Pihak kami merakamkan penghargaan terhadap almarhum kerana membawa suara kami ke dalam dewan dan mebangkitkan soalan berkaitan kronologi lengkap isu gangguan air Seberang Perai Selatan (SPS). 

3. Kami juga menghargai peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan segenap peringkat. Namun, kami berpandangan usaha yang dibuat masih tidak cukup dan terdapat pelbagai tanda tanya dan pihak kerajaan memperlihatkan tindakan yang tidak betul-betul menghiraukan keperitan kehidupan seharian penduduk mukim 5 SPS.

4. Kami berpandangan projek Tangki Sedutan Widuri dan Welleslley tidak berfungsi secara konsisten dan kukuh (reliable). Pendekatan penyelesaian yang digunakan bersifat pil panadol apabila penerimaan air di tangki tersebut juga tidak konsisten sama ada penghantaran melalui jaringan paip ataupun penggunaan lori tangki jumbo. Corak sokongan lori penghantar ke tangki sedutan juga kelihatan bermusim dan selama ini mukim 5 kelihatan tidak diberi perhatian sewajarnya kecuali sehari dua ini sempena pilihan raya kecil yang bakal berlangsung.

5. Pembinaan 2 loji rawatan air (LRA) mudah alih di Taman Sungai Duri Indah dibina bagi mengurangkan tekanan permintaan di hujung paip boleh disifatkan sebagai eksperimen apabila kita dimaklumkan bahawa baru-baru ini dilaporkan bahawa telah dihenti tugas atas sebab yang tidak dapat kami pastikan. Kami melahirkan kebimbangan apabila pada bahagian hulu (upstream) sungai di mana tempat air diekstrak terdapat kawasan industri yang tak dapat dipastikan ia akan memberi risiko terhadap pengambilan air tersebut.




6. Selain itu, terdapat satu projek lagi kelihatan seperti sedang bereksperimen ialah LRA Kompak Sungai Kerian yang pernah dijadualkan siap pada Januari 2024. Status terkini mengenai projek ini masih menjadi tanda tanya. Apakah kajian kebolehlaksanaan yang mungkin telah dibuat telah dapat mengatasi masa pemerolehan tanah dan masalah keterdedahan dengan air payau kerana kedudukannya tidak jauh dengan muara sungai yang menghampiri laut ?

7. Di samping itu Projek Loji Pengapungan Udara Terlarut (DAF) Bukit Panchor pula adalah umpama projek ubat pelali bagi memberi harapan yang tiada bagi penduduk Mukim 5. Apa yang dapat kita lihat penghasilan air terawat daripada loji DAF daripada sudut aturannya hanya dapat menampung kawasan tertentu di SPS dan tidak termasuk Mukim 5.

8. Status LRA Kompak Sungai Kerian telah pun mewujudkan pelbagai tanda tanya. Apabila diumumkan bahawa LRA Sungai Kerian dengan pengeluaran 114 juta liter harian (JLH) maka teramat lagi besar tanda wujud tentang bilakah ia mampu memberi penyelesaian pada masalah air Mukim 5. Jika LRA kompak di Sungai Kerian masih tak tentu tarikh siap, apatah lagi LRA berkapasiti besar.

9. Pengumuman projek jangka panjang oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Mei 2024 tentang pembelian air bersih daripada Perak melalui LRA baharu yang bakal dibina dan akan mengekstrak air mentah Sungai Kerian terus menimbulkan tanda tanya besar dalam harapan air penduduk Mukim 5 . Pengumuman ini seiring pembinaan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian atau dikenali sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).

10. Pengumuman demi pengumuman projek berskala besar melibatkan banyak pihak ini umpama suatu bentuk ubat pelali dos yang lebih tinggi terhadap sesiapa yang telah pun percaya seolah-olah projek besar ini dapat menghentikan kesengsaraan penduduk Mukim 5 yang telah 6 tahun menderita dengan gangguan air yang memeritkan.

11. Kesimpulannya, 3 bentuk projek bercirikan pil panadol, eksperimentasi atau ubat pelali tidak dapat memberi penyelasaian segera dan kukuh bagi penyelesaian masalah airpenduduk mukim 5.

12. Berdasarkan cadangan-cadangan yang wujud bagi menampung keperluan SPS umumnya dan Mukim 5, Sungai Bakap khususnya, telah disepakati bahawa air mentah Sungai Kerian merupakan sumber utama yang akan diabstrak untuk proses rawatan air.

13. Penyelesaian segera bagi masalah air Mukim 5 sewajarnya adalah melalui rundingan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan air bersih daripada LRA Lubok Buntar, Kedah yang bakal mempunyai lebihan 10 JLH pada September 2024. Sumber air mentah LRA Lubok Buntar yang baru ini juga diekstrak daripada Sungai Kerian.

14. Penyelesaian segera air Mukim 5 adalah keutamaan demi kesejahteraan dan kebajikan masyarakat Mukim 5 tanpa mengira soal perbezaan fahaman politik. Sementara menanti projek yang direncanakan oleh kerajaan negeri siap, membeli air terawat LRA Lubok Buntar adalah penyelesaian segera yang diharapkan bagi menamatkan penderitaan selama lebih 6 tahun. Pihak kami menggesa supaya profesionalisme dalam keputusan diutamakan mengatasi permainan persaingan politik yang merugikan semua pihak.

Sekian, terima kasih.

Catat Ulasan

0 Ulasan