Tiada pertandingan, Muhyiddin kekal Presiden Bersatu sepenggal lagi


Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November 2023 yang sebulat suara memutuskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden bagi pemilihan akan datang.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Muhyiddin semalam. 

"Bersatu juga kekal mengikut Perlembagaan parti bagi pertandingan untuk jawatan-jawatan lain, dengan calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan Oktober ini perlu memohon kepada Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu," katanya dalam kenyataan media, malam ini.




Beliau menambah, Bersatu turut melantik Datuk Dr. Radzi Jidin serta Abdullah Omar Bledram masing-masing sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya dan Ketua Bahagian (Penaja) Labuan yang baharu.

Status tujuh wakil rakyat yang berpaling tadah juga telah diputuskan dan Majlis Pimpinan Tertinggi mengarahkan Setiausaha Agung untuk membuat tindakan susulan.

Pada masa yang sama, mesyuarat turut membincangkan banyak perkara melibatkan situasi terkini ekonomi negara, beban kos sara hidup rakyat yang tiada penyelesaian, isu penyasaran subsidi bahan api oleh kerajaan serta senario semasa politik negara yang meresahkan.

Selain itu, mesyuarat turut memutuskan tarikh-tarikh persidangan seperti berikut:

- Cawangan (20 Julai – 31 Ogos 2024)
- Bahagian (12 – 26 Oktober 2024)
- Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda (28 November 2024)
- Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi (29 November 2024)
- Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU (30 November – 1 Disember 2024).

Catat Ulasan

0 Ulasan