Tindakan tegas menanti peserta perhimpunan Rakyat Lawan Anwar - Polis KL


Polis Kuala Lumpur menasihatkan penganjur agar tidak meneruskan perhimpunan 'Rakyat Lawan Anwar' di Putrajaya, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menerima surat pemberitahuan daripada pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan di Tempat Letak Kereta Awam, berhadapan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 29 Jun 2024 pukul petang kepada Ketua Polis Daerah Putrajaya.

"Pihak polis telah menasihati pihak penganjur untuk tidak meneruskan perhimpunan ini memandangkan penganjur tidak mendapat kebenaran pemilik tempat berhimpun dan lokasi tersebut juga tidak sesuai untuk diadakan perhimpunan," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Rusdi memberitahu, polis juga mendapati satu video yang tular berdurasi 3 minit 41 saat dalam aplikasi Tiktok memaparkan diskusi yang mengajak orang ramai untuk menyertai perhimpunan #rakyatlawananwar sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan.

Menurut beliau, sebanyak 85 laporan polis telah diterima berhubung perhimpunan itu. 

"Sehubungan itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya.




Rusdi berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. 

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. 

Sebarang pertanyaan atau maklumatboleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. - TUKANG TULIS

Catat Ulasan

0 Ulasan