2 anggota polis ditahan peras wang warga asing


Polis Kontinjen Selangor telah menahan dua anggota polis yang bertugas di IPD Kajang selepas menerima satu laporan mengenai kejadian pemerasan wang yang melibatkan dua penjawat awam.

Kejadian itu didedahkan melalui satu video tular dalam media sosial, menunjukkan insiden pemerasan terhadap seorang lelaki warga asing di Jalan Taming Sari, Kajang, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua suspek direman bermula hari ini hingga 30 Julai untuk siasatan lanjut. 

Beliau menegaskan, Polis Kontinjen Selangor tidak akan melindungi mana-mana pegawai, sama ada pegawai kanan atau pegawai rendah, yang terlibat dalam kesalahan jenayah. 

"Siasatan akan dijalankan sepenuhnya tanpa kompromi.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.





Catat Ulasan

0 Ulasan