6 MP prokerajaan tuduh Muhyiddin perlekeh Speaker Dewan Rakyat

 


Enam Ahli Parlimen bebas prokerajaan mendakwa, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperlekehkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berikutan keputusannya yang menyatakan tidak berlaku kekosongan enam kerusi Parlimen yang disandang bekas-bekas ahli Bersatu itu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Berikut adalah kenyataan bersama enam Ahli Parlimen berkenaan hari ini:

Terima kasih kepada semua pemberita yang sudi hadir kepada sesi kenyataan media kami berenam pada tengahari ini. Kami berenam terpanggil untuk membuat kenyataan media setelah mendengar dan membaca kenyataan media yang dibuat oleh YB. Tan Sri Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 10 Julai 2024 jam 3pm di mana beliau dengan jelasnya memperlekehkan keputusan yang dibuat YB. Tan Sri Speaker yang kononnya memberikan alasan-alasan yang dangkal dan tafsiran songsang dalam membuat keputusan untuk tidak mengosongkan enam kerusi Kawasan Parlimen kami.

Dalam kenyataan media YB. Tan Sri Pengerusi PN juga mengatakan bahawa YB. Tan Sri Speaker telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan perkara 49(A) Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti. Untuk menguatkan hujah beliau juga, YB. Tan Sri Pengerusi PN telah memetik salah satu ucapan YB. Tan Sri Speaker semasa beliau menjadi Ahli Parlimen pembangkang yang tercatat dalam hansard dewan rakyat bertarikh 27 Julai 2022 di muka surat 85 berbunyi “Inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita. Tidak kiralah sama ada sebelah sini (pembangkang) atau sebelah sana (kerajaan) tetapi ini harus terhenti disini”.

Jika dihayati dengan sebaik-baiknya, kenyataan YB. Tan Sri Speaker memanglah tepat pada ketika itu namun tafsiran yang dibuat oleh YB Tan Sri Pengerusi PN telah meleset jauh dan menyimpang. Pada ketika itu, YB. Tan Sri Speaker merujuk kepada kes Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu. 

Ini terbukti bila mana pengerusi parti BERSATU YAB Tun Mahathir Mohamad tidak mahu menyertai kerajaan Perikatan Nasional membentuk kerajaan kerana menyedari perbuatan tersebut sangat hina kerana menjatuhkan kerajaan sedia ada yang dipilih oleh rakyat. Maka dengan itu, akta lompat parti - Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan dipinda dan diluluskan di Parlimen.

Melalui penjelasan yang kami buat, jelas menunjukkan bahawa kami tidak melanggar apa-apa syarat yang disebut dalam Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan kerana kami tidak melompat parti, kami tidak bertindak untuk menjatuhkan kerajaan melainkan tindakan kami menyokong kerajaan untuk memantapkan lagi kerajaan Perpaduan dan Madani pimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti yang disarankan oleh kedua-dua Tuanku Agong kita iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Selain daripada itu, Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai jika sekiranya kami melepaskan keahlian kami di dalam parti namun kami tidak pernah meninggalkan parti dan dalam surat kami jelas bahawa kami tetap kekal, taat dan setia kepada parti dan hanya menyatakan sokongan kami kepada kerajaan Perpaduan dan Madani demi mendapatkan peruntukan Ahli Parlimen bagi maksud membantu rakyat kami di kawasan Parlimen kami. Kami dipecat kerana perlembagaan BERSATU dipinda setelah kami menyatakan sokongan kami. Walaubagaimanapun Perlembagaan BERSATU tidak terpakai kepada kami kerana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan seperti berikut:

“Pertukaran parti politik anggota, dsb.

49A. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang di-Pertua di bawah Fasal (3) jika—

(a) setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik—

(i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu;

(ii) atau dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau

(b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

(2) Seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu menurut Perkara ini hanya disebabkan oleh—

(a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya;

(b) pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua; atau

(c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.



Bagi kami, arahan-arahan MPT BERSATU kepada kami adalah bertentangan dan menafikan dengan hak Perlembagaan Persekutuan kami iaitu ;

Perkara 43(2)(a)- menyokong Perdana Menteri;

Perkara 62(1)- dimana Peraturan Mesyuarat Dewan dibuat yang memberi kuasa saya untuk semak dan imbang Kerajaan dan hak menyokong serta mengundi termasuk hak untuk tempat duduk di Dewan Rakyat;

Perkara 63(2)- Keistimewaan pada Ahli Parlimen dimana ucapan, sokongan dan undian tidak dicabar di Mahkamah;

Perkara 66- kuasa perundangan pada Ahli Parlimen dan sumpah kami sebagai Ahli Parlimen dan

Perkara 59(1)- sumpah Taat Setia di Jadual ke-6 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Malah Arahan-Arahan MPT BERSATU tersebut adalah bertentangan dan menafikan hak kebebasan bercakap dan berbahas untuk kami di bawah Seksyen 3 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Hak kami untuk apa-apa jua dikatakan termasuk menyatakan sokongan atau hak mengundi saya di Dewan Rakyat adalah hak keistimewaan Parlimen di bawah Perkara 63(2) dan tidak boleh dicabar di Mahkamah. 

Kebebasan kami mengundi dan menyokong mana-mana pihak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak tersebut tidak boleh dinafikan oleh arahan parti politik dan perlembagaan parti politik. Malah Arahan MPT BERSATU tersebut juga bertentangan dengan tujuan-tujuan dan matlamat parti BERSATU untuk menegakkan sistem demokrasi berparlimen.

Pada ketika kami bersama parti BERSATU dahulu, kami melaksanakan hak kami dibawah Perlembagaan Persekutuan dengan menyokong mana-mana pihak yang menyokong tujuan dan matlamat Parti BERSATU ini termasuk dari pihak komponen Parti Perikatan Nasional dan kerajaan.

Kami juga telah mengangkat sumpah di hadapan YB. Tan Sri Speaker dalam Dewan Rakyat untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, selaku Ahli Parlimen, kami mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen. Sebarang percubaan untuk menafikan hak Perlembagaan kami boleh dianggap sebagai suatu kesalahan dibawah 124 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Sekali lagi ingin kami jelaskan bahawa kami menyanjung dan mendukung tujuan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan diwujudkan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara dari terus berhadapan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan. Jika Arahan Bersatu tersebut yang wujud dari Perlembagaan Parti Bersatu boleh menafikan hak Ahli Parlimen di bawah Perlembagaan Persekutuan, maka keadaan ini boleh mewujudkan ketidakstabilan politik dan matlamat Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tidak tercapai.

Akhir sekali, kami ingin merayu kepada semua pemimpin-pemimpin tertinggi parti terutamanya blok pembangkang supaya BERHENTI DAN SUDAH-SUDAHLAH BERMAIN POLITIK dan marilah bersama-sama berganding bahu untuk menstabilkan politik di Malaysia dan memulihkan ekonomi Negara kita yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kesan ekonomi global.

Selain daripada itu, kami tetap berpegang teguh kepada keyakinan kami bahawa kami tidak melanggar mana-mana peraturan di bawah Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan dan kami hanya menyokong kerajaan Perpaduan dan Madani demi kepentingan rakyat yang mengundi kami d kawasan Parlimen masing-masing.

Catat Ulasan

0 Ulasan