Jailani kena bayar ganti rugi sebab lompat parti - Rauf


Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis perlu membayar ganti rugi kepada parti ekoran tindakannya melompat ke PAS.

Menurut beliau, tindakan Jailani itu akan memberi implikasi susulan Aku Janji yang ditandatangani semasa bersetuju untuk menjadi calon BN pada PRN Melaka Ke-15.

"Beliau perlu menanggung segala kos-kos ganti rugi yang diberikan kepada calon atas nama parti dengan jumlah kos yang diambil kira munasabah. 

"Apapun, saya akan mengusulkan perkara ini kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk memberi keputusan dan tindakan susulan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Jailani kerana telah berkhidmat bersama UMNO selama lebih setahun di bawah pimpinannya.

Menurut beliau, pentadbirannya mengambil maklum keputusan Muhammad Jailani bin yang mendakwa telah menerima surat lantikan rasmi menyertai PAS sejak 10 Jun 2023 seperti mana yang telah diumumkan oleh beliau pada sidang media PN di Parlimen pada 16 Julai lalu.

Tambah Rauf, berikutan pengumuman yang dibuat oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tentang Muhammad Jailani baru-baru ini, Kerajaan Negeri Melaka dan Speaker DUN Melaka akan meneliti lebih lanjut dakwaan Jailani yang sudah berhijrah kePAS berpandukan kepada undang-undang dan peraturan.

"Perkara ini akan diteliti dari dua sudut berbeza iaitu melalui perlembagaan parti sebagai wakil rakyat yang mewakili parti dan kerajaan negeri sebagai ADUN Melaka sebelum memuktamadkan sebarang tindakan susulan.

"Kerajaan Negeri Melaka juga akan mengkaji kenyataan dibuat Jailani termasuk dakwaan beliau sudah mengisytiharkan dirinya menyertai parti PAS pada Jun tahun lalu. 

"Ini termasuklah melakukan semakan sama ada tindakan Muhamad Jailani menyertai parti PAS terkait dengan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan pada Persidangan DUN Melaka pada 31 Julai tahun lalu," jelasnya.



Catat Ulasan

0 Ulasan