Ekonomi negara tumbuh 5.8 peratus, lagi panas walaun - Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli percaya anggaran awal angka pertumbuhan ekonomi negara bagi suku kedua 2024  dari April ke Jun akan membuatkan penyokong pembangkang kepanasan.

Menurut beliau, ekonomi Malaysia tumbuh 5.8 peratus bagi suku kedua 2024 berbanding suku yang sama tahun lepas.

Katanya, ini menjadikan pertumbuhan separuh tahun Januari ke Jun 2024 sebanyak 5 peratus, iaitu dalam lingkungan sasaran pertumbuhan 4 hingga 5 peratus bagi 2024, seperti yang dirancang kerajaan.

"Prestasi baik ini dijangka akan terus mendorong pengukuhan nilai ringgit dan kenaikan pasaran saham, selain terus menarik pelaburan yang mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

"Kita akan sering terdedah kepada risiko pembodohan di media sosial yang mengatakan ekonomi negara merudum, tetapi fakta-fakta ini membezakan antara mereka yang menghormati ilmu dan mereka yang memalingkan muka dari ilmu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rafizi berkata, insya-Allah ekonomi negara akan terus mengukuh, tetapkan hati untuk sama-sama menyumbang membina semula ekonomi negara.

"Jangan marah bila data menunjukkan ekonomi semakin mengukuh. Pesan kawan saya dari utara… 'panas tak pe jangan koyak'," katanya.

Beliau berkata, walaupun data-data ekonomi menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, ramai yang tidak mahu menerima fakta-fakta itu.

"Kalau fakta tentang prestasi ringgit yang menjadi matawang kedua terbaik di Asia, prestasi bursa saham yang menambah nilai melebihi 20 peratus dalam masa setahun pun belum cukup, saya tambah satu lagi fakta ekonomi yang baru keluar. Lagi panas walaun," katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan