Andainya Muhyiddin berundur, Radzi paling layak jadi pengganti

Setakat ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum mendedahkan sama ada beliau akan kekal sebagai Presiden Bersatu bagi penggal akan datang.

Di atas kertas, beliau dijangka kekal menyandang jawatan nombor satu parti itu sekali gus menerajuinya dalam menghadapi PRU16. 

Ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November lalu secara sebulat suara memutuskan Muhyiddin kekal sebagai presiden parti bagi pemilihan akan datang.

Namun baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, beliau 'sudah ada keputusan' dan berharap keputusan itu disokong sepenuhnya oleh ahli-ahli parti.

Tidak diketahui apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Muhyiddin ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Bersatu yang di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, 13 Julai lalu.

Apakah beliau mahu berundur dari kepimpinan tertinggi Bersatu dan memberi laluan kepada muka baharu?

Jawapan sebenar hanya akan diketahui menjelang pemilihan Bersatu tidak lama lagi.

Jika langkah itu diambil oleh Muhyiddin, siapakah dalam kalangan pimpinan tertinggi Bersatu yang sesuai menggantikannya?

Tidak mungkin Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana beliau telah diuar-uarkan untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Presiden yang dikosongkan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Datuk Seri Azmin Ali pula dikatakan akan menggantikan Hamzah bagi jawatan Setiausaha Agung.

Setelah ditolak Hamzah dan Azmin, satu-satunya calon berkaliber yang tinggal ialah Datuk Radzi Jidin.

Walaupun masih lagi agak baru di pentas politik arus perdana, Radzi telah membuktikan keupayaannya sebagai seorang tokoh yang disegani kawan dan lawan.

Beliau juga tergolong dalam barisan kepimpinan Bersatu yang asal atau 'ori' dan tidak terpalit dengan isu 'katak politik'.

Selain itu, Radzi menunjukkan prestasi cemerlang semasa berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dahulu.

Maka, Radzi merupakan calon yang paling sesuai untuk meneruskan perjuangan Bersatu dan PN untuk kembali menjadi kerajaan selepas PRU16.

Sama ada spekulasi ini menjadi kenyataan atau sebaliknya, ia bergantung kepada keputusan yang bakal diumumkan Muhyiddin nanti.




Catat Ulasan

0 Ulasan