Kemenangan besar PN isyarat jelas rakyat tolak PH-BN - Muhyiddin

 


Berikut adalah kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengenai kemenangan Abang Abidin Ismail pada PRK DUN Sungai Bakap:

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t., Perikatan Nasional menang besar dalam PRK Sungai Bakap. 

Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pengundi-pengundi Sungai Bakap yang telah mengundi calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail. Sokongan padu anda telah membolehkan PN mencatatkan majoriti yang lebih besar dalam PRK ini.

Kemenangan PN ini adalah tanda keyakinan rakyat terhadap perjuangan PN dalam membela nasib mereka. 

Ia juga isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan PH-BN yang menyusah dan merimaskan rakyat. Ini termasuk penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan kenaikan harga barang dan menambah beban rakyat, kedegilan kerajaan  meneruskan penjualan saham MAHB kepada syarikat GIP walaupun ditentang hebat oleh rakyat dan kegagalan kerajaan melaksanakan janji-janji reformasi institusi malah semakin mencengkam kebebasan rakyat.

PRK Sungai Bakap menunjukkan pengundi bijak menilai. Mereka tidak termakan dengan sogokan dan pujukan PH-BN. Malah tindakan PH-BN yang menyalahgunakan jentera kerajaan secara besar-besaran untuk meraih undi juga tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada parti itu.

Tahniah kepada calon PN atas kemenangan yang amat bermakna ini dan terima kasih  kepada semua jentera PN dari parti BERSATU, PAS, GERAKAN dan MIPP, rakan-rakan badan bukan kerajaan, tokoh masyarakat serta individu yang telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan PN.




Catat Ulasan

0 Ulasan