Mampukah PN mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap?

 

Gambar hiasan: Facebook SPR

Pendahuluan

Dalam tempoh dua tahun setengah, pengundi Sungai Bakap dipanggil untuk membuang undi sebanyak tiga kali. Setelah melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023, mereka sekali lagi akan mengundi pada 6 Julai 2024 ini apabila ADUN penyandang meninggal dunia pada 24 Mei lepas.

Sebagai salah satu kawasan DUN di bawah kawasan parlimen Nibong Tebal, Sungai Bakap adalah lokaliti campuran antara pekan dan kampung dengan demografi pengundi bercampur antara 59 peratus Melayu, 23 peratus Cina, 17 peratus India dan selebihnya etnik lain.

Untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil (PRK) ini serta sikap, tingkah laku dan kecenderungan pengundi, ILHAM Centre membuat kajian lapangan sepanjang kempen berlangsung. Kajian lapangan ini dijalankan sebanyak dua fasa iaitu pada pertengahan kempen dan pada pertengahan minggu kedua menuju penghujung kempen.

Data kajian dikumpul secara triangulasi iaitu pemerhatian ikut serta, temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD). Informan temu bual terdiri daripada penduduk tempatan, pengundi, jentera parti, pemimpin parti serta pemimpin komuniti dan masyarakat.

Suasana Kempen

Secara keseluruhan, suasana kempen PRK Sungai Bakap ini adalah meriah tetapi lebih tenang berbanding PRU15 dan PRN 2023. Jika dua pilihan raya tersebut sebelum ini berlangsung dengan hangat terutama kesan daripada ‘gelombang hijau’, PRK ini berlangsung lebih damai dan tenteram.

Kedua-dua parti bertanding iaitu PH-BN dan PN mempamerkan kekuatan hampir sama dalam aspek bahan kempen seperti poster, bendera, sepanduk, gegantung, risalah dan sebagainya. Mereka juga mempamerkan kekuatan seimbang dalam aktiviti kempen seperti ceramah umum, ceramah kelompok, kempen rumah ke rumah, serta kempen bertemu pengundi di tempat awam seperti pasar dan sebagainya.

Parti-parti bertanding turut dibantu oleh jentera luar khususnya jentera daripada kawasan dan negeri lain. PN lebih banyak dibantu oleh jentera luar berbanding PH-BN, PH sebagai contoh lebih banyak mengoptimum kekuatan jentera tempatan Pulau Pinang untuk menggerakkan kempen.

Akibat terlalu kerap pilihan raya atau mekanisme akses terhadap informasi telah berubah, sambutan pengundi terhadap kempen secara bersemuka agak dingin. Ceramah umum dan ceramah kelompok sebagai contoh banyak dipenuhi oleh jentera parti dan pelancong politik berbanding pengundi sebenar, senario ini berlaku kepada dua-dua pihak PH-BN dan PN.

Kekuatan Calon

Dalam aspek calon, responden-responden yang ditemu bual memberi kredit besar kepada calon parti perpaduan iaitu Dr Joohari Ariffin. Kelayakan akademik, kerjaya sebagai cikgu dan orang tempatan menyebabkan majoriti pengundi mengenali dan memberi perspektif baik kepada beliau. Dalam masa sama calon PH ini memiliki kemahiran komunikasi yang baik sama ada pengucapan awam atau komunikasi interpersonal apabila berinteraksi dengan pengundi.

Aset paling besar Cikgu Joo adalah kerjaya beliau sebagai guru menyebabkan beliau dikenali ramai termasuk oleh bekas murid beliau. Dalam temu bual kami, ramai bekas murid memberi penghormatan tinggi kepada beliau walaupun bekas murid tersebut adalah penyokong PN.

Secara relatif, calon PN iaitu Abidin Ismail tidak memiliki kelayakan akademik, latar belakang kerjaya dan kemahiran komunikasi setanding calon perpaduan. Namun cerapan kami dalam kalangan pengundi menunjukkan beliau juga dikenali dengan baik dalam kalangan pengundi.

Ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang beliau sebagai anak tempatan dan tugas beliau sebagai pembantu wakil rakyat sebelum ini yang kerap bertemu masyarakat dalam DUN Sungai Bakap. Tinjauan kami di Sungai Duri sebagai contoh, beliau sangat popular di PDM ini khususnya anak-anak kariah Masjid Sungai Duri itu sendiri.



Gelombang Hijau Semakin Reda

Secara tradisi Sungai Bakap ini adalah milik PKR apabila memenangi kerusi ini dalam beberapa siri pilihan raya sebelumnya. Namun akibat rempuhan gelombang hijau, PH hilang kerusi ini apabila dirampas oleh PN dalam PRN Ogos 2023 yang lalu.

Observasi mendapati gelombang hijau tersebut telah mencapai puncak dalam PRN lepas dan mula berkurang dalam PRK ini. Aura yang terkait sentimen etnik-agama khususnya dalam kalangan pengundi Melayu sudah tidak sehangat PRU15 dan PRN 2023.

Sama ada kempen secara berdepan atau secara atas talian, sentimen dan emosi berkaitan 3R ini sudah tidak sepanas seperti sebelumnya. Sentimen tersebut masih ada dan masih digunakan dalam kempen, namun sambutan dan kehangatannya semakin mereda.

Pengundi Teras Umno

BN memperolehi sekitar lapan ribu undi untuk DUN ini dalam PRU14, dalam masa sama Umno mempunyai sekitar lima ribu ahli di Sungai Bakap ini. Akibat rempuhan gelombang hijau, sebahagian besar pengundi teras Umno memberi undi kepada PN dalam PRN lepas.

Temu bual bersama pengundi Umno menunjukkan situasi tersebut telah mula berubah sedikit. Kecenderungan mereka terhadap PN semakin tidak kuat seperti sebelumnya, namun dalam masa sama mereka tidak menunjukkan sokongan kepada PH.

Umno menggerakkan jentera kempen yang kuat dan sistematik untuk menyantuni pengundi teras ini. Jentera kempen Umno bergerak secara bersendirian rumah ke rumah untuk berunding dan memujuk pengundi mereka untuk mengundi calon perpaduan.

Tinjauan kami terhadap pengundi teras UMNO ini menunjukkan sebahagian mereka masih akan menyokong PN namun sebahagian lagi masih dalam dilema dan masih berkira-kira. Walau apa keputusan mereka nanti, pendekatan Umno untuk mendampingi semula pengundi mereka semakin diterima.

Pengundi Cina & India

Pengundi etnik Cina adalah deposit tetap PH sejak beberapa siri pilihan raya sebelumnya. Namun dalam PRK ini mereka menunjuk tingkah laku tidak begitu ghairah terhadap PH dan Kerajaan Perpaduan disebabkan beberapa polisi ekonomi kerajaan dan prestasi kerajaan negeri khususnya berkaitan air dan infrastruktur.

Sebahagian pengundi etnik Cina yang ditemui memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi, begitu juga anak-anak mereka yang menetap di bahagian pulau juga tidak akan pulang mengundi walaupun jaraknya berdekatan sahaja. Namun senario ini tidak berlaku secara blok, sebahagian lagi pengundi etnik Cina tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi.

Cerapan kami terhadap pengundi India menunjukkan pola sokongan etnik tersebut masih kekal seperti PRN lepas iaitu lebih ramai cenderung kepada PH-BN. Mereka juga memberi maklum balas agak meriah terhadap kempen PH-BN dengan keluar mendengar ceramah, terlibat dalam kempen dan sebagainya.



Pengundi Muda

Berbanding PRN lepas yang menyaksikan anak muda Melayu secara gerombolan menyokong PN, situasi berubah dengan ketara dalam PRK Sungai Bakap ini. Walaupun pemerhatian menunjukkan mood sokongan pengundi muda masih kuat terhadap PN, namun kekuatannya mula berkurang dan tidak sekuat sewaktu gelombang hijau berada di puncak.

Anak-anak muda yang dulu ghairah mempamerkan sokongan kepada PN, sekarang sudah tidak sekuat itu. Bahkan sebahagian pengundi muda mula tidak segan silu untuk bergaya dengan baju “t-shirt” gabungan parti perpaduan, lepak berbual di sana sini, situasi yang tidak menonjol dalam PRN lepas.

Kesediaan Keluar Mengundi

Pilihan raya ini tidak akan merubah sebarang status-quo kerajaan negeri, dalam masa sama terlalu kerap pilihan raya dalam masa terdekat di DUN ini. Bersandarkan dua faktor tersebut, dapatan kami menunjukkan kesediaan keluar mengundi tidak cukup ghairah berbanding PRU15 dan PRN 2023.

Ramai responden yang ditemu bual memaklumkan ahli keluarga mereka sama ada anak, adik beradik atau saudara terdekat tidak akan pulang untuk mengundi. Namun cuti yang agak panjang hujung minggu ini di Pulau Pinang sedikit sebanyak masih memberi harapan untuk pengundi luar yang ada sekitarnya untuk pulang mengundi sambil bercuti bersama keluarga.

Isu Nasional & Lokal

Seperti biasa, setiap kali pilihan raya pelbagai isu semasa akan diangkat sama ada timbul secara organik dalam kalangan pengundi atau diagendakan oleh parti-parti yang bertanding sebagai agenda kempen. Namun dalam PRK ini, isu-isu lokal lebih mendapat tempat dalam kalangan pengundi berbanding isu nasional.

Isu penyasaran subsidi diesel dan isu BlackRock sebagai contoh, kedua-dua isu ini tidak meletus secukupnya di Sungai Bakap ini seperti jangkaan awal oleh pelbagai pihak, walaupun isu ini cuba diangkat sebagai agenda kempen oleh parti yang bertanding khususnya PN.

Pengundi lebih fokus terhadap isu tempatan yang terkait secara langsung dengan kehidupan seharian mereka. Antara banyak yang ditimbulkan oleh pengundi seperti gangguan bekalan air, kenaikan tarif air, kemudahan infrastruktur, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

Antara isu-isu yang ditimbulkan secara organik oleh pengundi tersebut, isu air paling signifikan untuk mempengaruhi pengundian. Ramai pengundi bersungut terhadap bekalan air yang sering terganggu serta mekanisme pengeluaran bil air yang menyebabkan pengguna melihat seperti berlaku kenaikan harga air yang tinggi.



Rumusan

Berpandukan dapatan-dapatan tersebut, dirumuskan terdapat tiga faktor penting bakal menentukan keputusan PRK Sungai Bakap ini iaitu (i) kadar keluar mengundi pemilih etnik Cina, (ii) sikap pengundi teras Umno dan (iii) ayunan pengundi muda.

Selain tiga faktor utama tersebut, pemboleh ubah dan faktor lain masih lagi sama seperti senario PRN 2023 yang dijangka tidak akan memberi pengaruh besar untuk merubah keputusan PRK ini.

Berasaskan dapatan-dapatan yang dihuraikan di atas, kajian ini merumuskan bahawa persaingan PRK ini kekal sengit dan marginal, kedua-dua parti PH-BN dan PN mempunyai peluang seimbang 50-50 untuk keluar sebagai pemenang pertembungan ini.

Jika PH-BN berupaya memujuk pengundi etnik Cina untuk keluar mengundi, mereka berpotensi merampas DUN ini daripada PN jika perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus. Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini.

-Tamat-

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi) dan Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik.




Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM Centre boleh dihubungi melalui email admin@ilhamcentre.my dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my.




Catat Ulasan

0 Ulasan