PAS jumpa PMX mahu masuk Kerajaan Perpaduan? - Veteran UMNO


Veteran UMNO mendakwa, PAS sedang berusaha untuk meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menerima parti itu dalam gabungan Kerajaan Perpaduan. 

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, usaha itu dilakukan melalui beberapa siri pertemuan dan perbincangan antara pemimpin tertinggi PAS dengan Anwar. 

Menurut beliau, usaha itu jelas membuktikan PAS sudah tidak ada keyakinan untuk bersama dengan Bersatu dalam gagasan Perikatan Nasional (PN). 

PAS sedar bahawa selama ini mereka tertipu kerana Bersatu tidak mempunyai kekuatan tersendiri malah menjadikan PAS sebagai kuda tunggangan. 

"PAS juga sedar selama ini mereka memikul biawak hidup," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mustapha menambah, kenyataan terbaharu Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan kemungkinan PAS akan meninggalkan Gerakan dalam PRU16 juga membuktikan parti itu tidak ada keyakinan kepada Gerakan.

Beliau berkata, pada PRK DUN Nenggiri PAS dengan berat hati memberi laluan kepada Bersatu walaupun PAS lebih berhak dan ada desakan oleh pemimpin PAS tempatan supaya PAS yang bertanding. 

"Gesaan pemimpin PAS Gua Musang itu ada asas kerana mereka tahu Bersatu tidak ada pengaruh dan hanya mengharap bantuan jentera dan undi PAS. 

"Jadi lebih baik PAS sahaja yang bertanding," jelasnya.

Walau apa pun, Mustapha memberitahu, yang jelasnya PAS memerlukan jalan pintas untuk berada dalam kerajaan. 

"Dan caranya adalah dengan cuba meyakinkan PMX supaya menerima PAS kedalam gabungan Kerajaan Perpaduan dan meninggalkan Bersatu dan Gerakan hanyut bersendirian. 

"Sekiranya itu berjaya, maka sekali lagi PAS membuktikan mereka adalah sebuah parti yang mengejar jawatan demi pemimpin yang rakus dan tamak," jelasnya.

Mustapha mendakwa, PAS tidak sanggup menunggu PRU16 kerana PAS tidak mahu memberi ruang kepada Bersatu dan Gerakan yang dilihat tidak menguntungkan mereka. 

Beliau berkata, episod yang berlaku kepada UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) akan berulang kepada Bersatu dan Gerakan. 

"Inilah sikap dan belang PAS sebenarnya. Baling bantu sembunyi tangan," katanya.





Catat Ulasan

0 Ulasan