Sg Bakap: Anak murid beri 'hadiah' yang mengecewakan cikgu



Berikut adalah kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden hari ni mengenai kekalahan teruk PH pada PRK DUN Sungai Bakap:

8 rumusan terhadap kekalahan teruk PHBN di PRK Sungai Bakap. Rumusan ke-8 paling penting 😆

__________

1. Pengundi Melayu kekal menolak PHBN

Majoriti pengundi Melayu telah menolak PH & BN di dalam PRN P.Pinang sebelum ini. Jumlah itu meningkat di dalam PRK kali ini. Ini bermakna gabungan PHBN gagal mendapat kepercayaan daripada majoriti pengundi Melayu. Kegagalan itu semakin bertambah parah. 

Manakala, pengundi Melayu kekal menjadi pengundi teras PN, bermula sejak PRU15 yang lalu hingga kini. PN kekal menjadi parti mainstream Melayu buat masa ini. 

___________

2. Penyokong UMNO menolak gabungan PHBN

Terdapat sejumlah pengundi Melayu yang tidak keluar mengundi atau tidak memberikan undi kepada PN di dalam PRN yang lalu. Pengundi Melayu berkenaan adalah penyokong tegar UMNO. 

Mereka tidak keluar mengundi mungkin kerana UMNO tidak meletakkan calon di dalam PRN yang lalu. 

PRK kali ini, didapati mereka keluar mengundi dan memberikan undi kepada PN. Walaupun mereka ahli UMNO, namun mereka protes terhadap gabungan PH+BN. 

Sokongan penyokong UMNO terhadap PN kali ini nampaknya sama seperti gelombang yang berlaku di dalam PRU15 dan PRN Kedah sebelum ini. 

___________

2. Pengundi Cina dan India protes, tidak keluar mengundi.

Kekurangan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina dan India amat ketara, terutamanya pengundi Cina. Pengundi Cina adalah pengundi teras PH. 

Di dalam PRN sebelum ini, mereka memberi undi kepada PH. Namun kali ini nampaknya mereka mengambil sikap tidak keluar mengundi. Ianya sebagai tanda protes terhadap dasar-dasar PHBN yang menjejaskan mereka, terutamanya dalam aspek ekonomi. 

PH gagal dapat sokongan pengundi teras mereka sendiri di dalam PRK kali ini.  

____________

3. Pengundi atas pagar tidak memihak kepada PH.

Timbalan Presiden PKR beritahu bahawa PHBN perlu dapatkan sokongan daripada pengundi atas pagar untuk menang. Keputusan PRK menunjukkan bahawa mereka gagal mendapat undi daripada pengundi atas pagar. 

Pengundi atas pagar bukanlah pengundi teras PH, bukan juga pengundi teras PN. Mereka mengundi tanpa dipengaruhi oleh fahaman mana-mana parti politik. Mereka mengundi berdasarkan faktor isu sara hidup dan isu semasa yang berkait secara langsung dengan mereka. 

____________

4. Pengundi tidak hiraukan 'ugutan' YB TKM1 Pulau Pinang. 

YB TKM1 Pulau Pinang ketika berkempen menyebutkan jika pengundi memilih calon PN, ianya akan menyukarkan hubungan YB berkenaan dengan Kerajaan Negeri. Bahkan, beliau juga menyebutkan ADUN PN berkenaan sukar beri perkhidmatan kerana tiada peruntukan khusus. 

'Ugutan' ini dilihat bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi menggunakan umpan kebendaan. Walhal, soal hak sama rata dan peruntukan YB Pembangkang inilah yang diperjuangkan partinya sebelum PRU15 yang lalu. 

Nampaknya, pengundi Sg Bakap tidak menghiraukan langsung 'ugutan' ini. Bahkan, 'ugutan' YB TKM1 inilah yang mungkin menjadi punca PHBN dihukum teruk oleh pengundi. Pengundi menolak mereka yang berjanji tapi tidak tunai janji. 




__________

5. Pengundi tidak termakan janji projek pembangunan yang dijanjikan TPM1. 

YAB TPM1 masih mengamalkan politik lapuk, dengan cara menaburkan janji manis kononnya akan ada 2 projek dilaksanakan di bawah kementeriannya jika gabungan PHBN memang di dalam PRK. 

Nampaknya, janji Presiden UMNO itu langsung tidak dipercayai oleh para pengundi. Lebih malang, pengundi dalam kalangan penyokong tegar UMNO juga sudah tidak mempercayai Presiden mereka. 

Pengundi UMNO nampaknya berani memberikan mesej langsung kepada Presiden mereka supaya UMNO perlu dipulihkan daripada sakit yang tenat. 

__________

6. Imej buruk terhadap kerjasama PHBN. 

PRK kali ini memberikan imej yang amat buruk kepada gabungan kerjasama PHBN. PHBN adalah pemegang kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. 

Segala jentera kerajaan dikerahkan untuk bekerja memenangkan PHBN. Sudah tentu perbelanjaan yang tinggi diperuntukkan untuk operasi mereka di dalam PRK kali ini. 

PHBN cuba sedaya upaya mempamerkan imej terbaik dalam gabungan mereka. Namun semua itu gagal. Segala paparan di media dan lakonan di pentas gagal memberikan imej yang baik kepada pengundi. 

Tagline Kerajaan Perpaduan gagal diterjemahkan di dalam PRK ini. Atau mungkin sebenarnya tidak wujud perpaduan dalam kalangan mereka. 

___________

7. Anak muda menolak PHBN, kekal bersama PN

Hampir semua saluran mengundi anak muda di dalam PRK kali ini kekal bersama PN. Bahkan jumlah itu semakin meningkat berbanding PRN yang lalu. 

Walaupun PHBN menaburkan pelbagai umpan untuk menarik anak muda, namun ianya gagal menawan hati anak muda. 

Anak muda bijak menilai dan memilih parti yang benar-benar boleh mewakili suara dan aspirasi mereka. 

Ini juga memberi isyarat kepada PN supaya perlu terus kekal berusaha menyantuni seramai mungkin anak muda dan mendengar suara mereka.

___________

8. Anak murid beri 'hadiah' yang mengecewakan cikgu. 

Presiden UMNO menyebutkan jika gabungan beliau bersama cikgunya (PMX) menang, ianya merupakan hadiah untuk PMX. 

Nampaknya, hadiah yang diberi kali ini amat mengecewakan PMX. 

Apa jadi jika seorang murid mengecewakan cikgunya? Mungkin murid itu akan ditukarkan ke kelas yang lain. Atau, mungkin dibuang sekolah! 

____________

Kesimpulannya, keputusan PRK Sg Bakap sewajarnya menjadi titik penyesalan atas segala 'dosa' dan kesilapan yang dibuat oleh PHBN semasa memegang tampuk kuasa Kerajaan. 

Mereka perlu 'bertaubat' dengan segera dan memperbetulkan segala kesilapan yang dilaksanakan dalam memacu negara. 

Segala janji mereka untuk membela nasib rakyat dan mengangkat negara menjadi 'Madani' nampaknya telah dibakulsampahkan di Sungai Bakap. 

Tukarlah gerabak keretapi yang rosak dan gantikan dengan gerabak yang baru. Jika masih gagal, tukar kepala gerabak dengan kepala yang baru, bersama gabungan gerabak yang baru. 

Afnan Hamimi

1 Muharram 1446H / 7 Julai 2024




Catat Ulasan

0 Ulasan