Sumbangan syarikat arak tak patut jadi sumber dana pusat pendidikan

Majlis Ulama UMNO menegaskan prinsip bahawa dana sumbangan daripada mana-mana syarikat yang terlibat dengan aktiviti yang dikategorikan sebagai memudaratkan seperti arak dan judi tidak wajar dijadikan sumber bagi mana-mana pusat pendidikan dalam negara. 

Menurutnya, hal ini kerana ia merupakan normalisasi terhadap aktiviti yang sepatutnya dijauhi oleh pelajar dan masyarakat sivil yang baik.

"Ini juga selaras dengan surat pekeliling KPM bertarikh 29 Mac 2018, yang menyatakan di dalam perkara 7.3 bahawa tata cara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Majlis Ulama UMNO menambah, merujuk kepada kehadiran seorang timbalan menteri dalam program seumpama itu, difahamkan ia berlaku kerana salah faham dan timbalan menteri berkenaan telah memohon maaf atas kekhilafan. 

Namun, Majlis Ulama UMNO menegaskan dan berharap ia tidak akan berulang lagi kepada mana-mana pemimpin kerajaan kerana ia akan memberi mesej yang salah kepada rakyat bahawa berlaku normalisasi terhadap penerimaan dana daripada aktiviti seperti ini.



Catat Ulasan

0 Ulasan