Veteran UMNO tak mahu DAP berkempen di Nenggiri


Veteran UMNO meminta DAP supaya tidak menghantar jenteranya berkempen membantu calon BN pada PRK DUN Nenggiri.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya menghormati hasrat DAP yang mahu berkampung di kawasan Orang Asli bagi membantu kempen PRK tersebut 

Namun, menurut beliau, kehadiran mereka tidak sesuai kerana kawasan perkampungan Orang Asli itu tidak ada masyarakat Cina. 

"Orang Asli adalah orang Melayu dan bercakap bahasa Melayu dan majoritinya beragama Islam.

"Sekiranya jentera DAP ikut turut turun padang membantu maka ia boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat Orang Asli yang dikhuatiri akan menjejas sokongan dan undi kepada calon BN. 

"Ia juga akan dijadikan isu oleh pembangkan untuk menambah kemarahan kepada UMNO/BN," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, kata Mustapha, adalah lebih baik jentera DAP tidak turun padang dan mereka boleh membantu dalam bentuk yang lain sebagai menyokong gerak kerja dan kempen UMNO/BN di Nenggiri.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Azaha Abdul Rani yang berkata jentera parti itu sanggup ‘berkhemah’ di kawasan Orang Asli bagi memastikan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini menjadi milik BN.

Azaha berkata, tindakan itu membuktikan komitmen mereka dalam memastikan PRK nanti akan berjalan lancar dan Orang Asli keluar mengundi.



Catat Ulasan

0 Ulasan