Tindakan tegas terhadap peserta himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar -PDRM


Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyertai perhimpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar di Ipoh esok.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perhimpunan yang dirancang di hadapan Pejabat Ahli Parlimen Tambun, Meru Raya, Ipoh itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurut beliau, ia tidak mendapat kebenaran pemilik tanah.

"Pada 24 Julai 2024, Polis Daerah Ipoh mengesahkan telah menerima pemakluman Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada Sekretariat Selamatkan Malaysia berkaitan Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar yang akan diadakan di hadapan Pejabat.

"Setelah disemak mendapati pemakluman ini tidak lengkap dan tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu kerana ia menyalahi undang-undang.




Catat Ulasan

0 Ulasan