Abdul Hadi tuduh UMNO lebih dajjal daripada dajjal ulangi pertembungan dengan PAS

 



Majlis Ulama UMNO (MUU) menzahirkan kekesalan atas sikap dan cara berpolitik di pentas demokrasi yang keras dan kasar ditampilkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan menuduh dan menggelar pihak politik yang berbeza sebagai lebih 'dajjal' daripada 'dajjal'.

Menurut badan itu, naratif politik sedemikian akan mengulangi siri pertembungan yang tajam khususnya antara penyokong dan ahli PAS dan UMNO awal 1980-an menerusi cetusan amanat-amanat dan ucapan-ucapan politik yang merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun sehinggalah diredakan menerusi Muafakat Nasional (MN) pada 2019. 

Kata MUU, politik sedemikian sepatutnya dibenamkan ke dasar lautan dan tidak dijadikan ikutan generasi baharu masyarakat Malaysia.

"Umum umat Islam mengenali susuk 'dajjal' menerusi hadis-hadis Rasulullah (SAW) sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia dan menguji serta merosakkan keimanan mereka dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa a.s. pada akhir zaman sebelum Kiamat. 

"Ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama muslim yang bersaing secara sihat di arena demokrasi Malaysia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam hantaran Facebook semalam, Abdul Hadi mendakwa UMNO yang rosak bersama Pakatan Harapan (PH) meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan dan mempertahankan kerajaannya.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ia digunakan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada dajal.

Menurutnya, mereka membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokong dan pada masa sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi.

Sehubungan itu, MUU mengajak semua pihak khususnya para alim ulama menghiasi dan memakmurkan politik demokrasi di negara ini dengan akhlak Islam dengan menjunjung peringatan Allah dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: 

"Wahai orang-orang beriman, janganlah ada satu kelompok mempersendakan satu kelompok yang lain barangkali yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mempersendakan. Dan janganlah para wanita mempersendakan wanita-wanita lain barangkali yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mempersendakan. Dan janganlah kamu mencela diri sendiri dan janganlah kamu gelar-menggelar dengan gelaran buruk. Seburuk-buruk nama adalah kefasikan selepas keimanan. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah sebenar-benar orang-orang yang zalim."

Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan